Bengkel mahu ubah sikap mereka terbabit keganasan

Bengkel mahu ubah sikap mereka terbabit keganasan

JAKARTA, 20 Sept (Bernama) – Bengkel antarabangsa mengenai deradikalisasi di Kuala Lumpur pada Januari depan bermatlamat melahirkan satu program deradikalisasi yang dapat mengubah sikap dan pemikiran serta meneutralkan mereka yang terlibat dalam kegiatan radikal atau keganasan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata untuk itu, bengkel berkenaan akan memberi perhatian kepada mereka yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas)(Pindaan) 2015 (SOSMA), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dan Kanun Acara Jenayah (CPC) di Malaysia.

“Malaysia dan Indonesia telah mengkaji secara mendalam (mengenai keganasan) dan mendapati 80 peratus daripada pengganas terlibat bukan kerana pengaruh akidah tetapi faktor eskapisme yang mempengaruhi mereka melibatkan diri dalam kegiatan keganasan terutama di Syria dan Iraq atau dengan menyertai kumpulan keganasan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat Malaysia di Jakarta di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia di sini, hari ini.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Hamidah Khamis, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Ibrahim Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Wan Ali Besar dan Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata Malaysia selaku tuan rumah bengkel itu, telah menjemput Indonesia untuk menyertainya selain menjadi negara rujukan bagi menghasilkan ‘acuan tetap’ program deradikalisasi.

“Malaysia dan Indonesia juga telah mencapai persetujuan untuk bekerjasama dalam menangani deradikalisasi,” katanya.

Malaysia turut menjemput Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Filipina, Thailand, Arab Saudi dan beberapa negara lain yang menjadi ‘negara sumber kepada penghantaran pengganas antarabangsa ke luar negara, katanya.

ARTIKEL YANG SAMA