Bengkel memahami industri pembalakan

Bengkel memahami industri pembalakan

KUCHING, 23 Julai – Kira-kira 50 orang terdiri daripada pembuat dasar, pengurusan atasan dan para pegawai kanan yang bertanggungjawab terhadap industri pembalakan menyertai bengkel mengenai Keperluan Pemasaran untuk Balak dan Aspek Perundangan Pembalakan di Sarawak.

Peserta terdiri daripada wakil syarikat pembalakan, Jabatan Hutan Sarawak dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.

Bengkel anjuran Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF-Malaysia), Jabatan Hutan Sarawak dan Perunding Ekologi dan Rakyat (NEPCon) berlangsung selama dua hari bertujuan menyediakan pandangan menyeluruh dan terkini kepada peserta berkenaan trend global mengenai keperluan aspek perundangan produk pembalakan dan persijilan pengurusan hutan.

Pengarah Pemuliharaan WWF-Malaysia Dr Sundari Ramakrishna berkata bengkel itu akan memberikan pemahaman kepada keperluan aspek persijilan; proses, prosedur, bagaimana untuk bermula dan bersiap sedia dan bagaimana mengekalkan persijilan.

Beliau berkata WWF menyokong aspirasi kerajaan Sarawak memiliki unit pengurusan hutan di negeri ini yang akan diberikan akreditasi antarabangsa pada 2017. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA