Bengkel memahami peranan PIBG

Bengkel memahami peranan PIBG

Oleh Ampuan Irma Susanti Ampuan Hussain

 

TEMBURONG, 4 Jun – Bagi meningkatkan lagi penglibatan ibu bapa serta mengukuhkan kesedaran betapa pentingnya kerjasama antara pihak sekolah demi membantu ke arah kecemerlangan pembelajaran anak-anak mereka, Jabatan Sekolah-sekolah Kluster 1 telah menganjurkan Bengkel Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), yang diadakan di Sekolah Rendah Rataie Temburong, baru-baru ini.

Bengkel bagi sekolah-sekolah Kluster 1 tahun ini melibatkan jawatankuasa PIBG daripada 11 buah sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah di daerah ini.

Antara perisian bengkel sehari ini adalah kongsi sama beberapa aktiviti berkumpulan dan taklimat mengenai kefahaman dan peranan PIBG yang disampaikan oleh Pemangku Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan Profesional, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Dayang Marina Chek binti Bujang yang juga selaku ketua Kluster 1.

PIBG merupakan organisasi penting dalam sesebuah sekolah yang merupakan platform kerja sukarela antara ibu bapa dan guru yang berperanan merapatkan hubungan antara kedua-duanya serta menyokong kepelbagaian aktiviti yang melibatkan ibu bapa sebagai rakan kongsi idea, tenaga dan kewangan dalam pembelajaran anak-anak di dalam dan luar sekolah sama ada dari aspek akademik, sahsiah dan kokurikulum.

Para peserta bengkel PIBG mendengarkan ucapan alu-aluan daripada Pegawai Kanan Pelajaran Kanan JSS Daerah Temburong, Awang Othman bin Bolhassan.
Para peserta bengkel PIBG mendengarkan ucapan alu-aluan daripada Pegawai Kanan Pelajaran Kanan JSS Daerah Temburong, Awang Othman bin Bolhassan.