Bengkel motivasi MKM

Bengkel motivasi MKM

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Nov – Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM), hari ini, telah menganjurkan bengkel motivasi yang disertai oleh 50 orang penuntut Tahun 9 dari Sekolah Menengah Awang Semaun dan Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab yang berlangsung di Kompleks Sukan Sungai Kebun.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Di-Pertua Presiden MKM, Datin Paduka Hajah Intan binti Haji Mohd Kassim yang turut berkesempatan menyampaikan ucapan dan nasihat di awal majlis itu.

Menurut kenyataan MKM, program itu diadakan bagi membantu meningkatkan semangat masyarakat terutama golongan belia untuk berusaha bagi mencapai kejayaan, sekali gus menyedarkan masyarakat bahawa kemiskinan itu bukan satu faktor yang menghalang mereka untuk berjaya.

MKM juga dapat menganalisis maklumat tahap kemiskinan yang sudah dikumpulkan, dan seterusnya memperkenalkan agensi-agensi yang berkaitan untuk memberi bantuan kepada yang sangat memerlukan.

Di kalangan pelajar yang menyertai bengkel tersebut.
Di kalangan pelajar yang menyertai bengkel tersebut.

Sementara itu, antara objektif utama bengkel adalah untuk menjelaskan tentang tahap kemiskinan yang semakin meningkat di negara ini serta memberi kesedaran mengenai masalah yang akan timbul akibat kemiskinan dan juga kelebihan apabila berjaya.

Di samping itu, ia juga bertujuan untuk menanam sikap berdikari agar tidak bergantung atau berharap kepada bantuan atau kemudahan yang sedia ada, sekali gus memupuk semangat agar berusaha keras demi masa depan di samping memperkenalkan serta memberigakan lebih lanjut mengenai MKM.

Bengkel berkenaan turut dijayakan bersama oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Unit Kaunseling, Jabatan Sekolah-sekolah, Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).

Atur cara majlis dimuatkan dengan pengenalan kepada peranan MKM, ceramah bimbingan dan bantuan daripada JAPEM, ceramah motivasi daripada Unit Kaunseling, taklimat daripada MUIB, taklimat oleh BIBD dan pameran daripada keempat-empat agensi berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA