Bengkel pemakaian dastar, sinjang dalam persilatan

Bengkel pemakaian dastar, sinjang dalam persilatan

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 26 Mei – Buat julung-julung kalinya, Persatuan Silat Brunei (PERSIB) Daerah Belait telah mengadakan Bengkel Cara-cara Menapih Sinjang dan Menambat Dastar yang diadakan di Dewan Pusat Belia Kuala Belait, hari ini.

Bengkel yang dikendalikan oleh salah seorang ahli jawatankuasa PERSIB Cawangan Belait, Awang Airul Shahrizam bin Haji Mohd Daud, itu bertujuan untuk memperkenalkan pemakaian dastar (topi) dan sinjang yang betul dalam pemakaian tradisi persilatan.

Turut hadir bagi menyampaikan sedikit taklimat mengenai bengkel itu ialah Pengerusi PERSIB Cawangan Belait, Haji Zabidi bin Ali.

Menurut Timbalan Setiausaha PERSIB Cawangan Belait, Awang Fairulman bin Haji Bidin, pemakaian dalam persilatan mempunyai cara tertentu, yang mana menapih sinjang dan menambat dastar mengikuti beberapa corak dan rentak tertentu.

“Pemakaian sinjang dan dastar merupakan pelengkap tradisi pemakaian dalam persilatan dan ia juga penting ketika mempersembahkan silat di hadapan orang ramai mahupun juri dalam suatu pertandingan silat,” kata Awang Fairulman.

Gambar ramai selepas bengkel kendalian PERSIB Daerah Belait, kelmarin.
Gambar ramai selepas bengkel kendalian PERSIB Daerah Belait, kelmarin.

Bengkel ini diadakan buat kali pertama bagi ahli-ahli jawatankuasa persatuan cawangan Belait dan dibukakan kepada keluarga-keluarga PERSIB.

Bagaimanapun, Awang Fairulman menyatakan harapan untuk memperkembangkan lagi bengkel tersebut untuk orang ramai agar masyarakat diberi peluang belajar serta mengambil ilmu pengetahuan dalam etika cara pemakaian tradisi dalam persilatan.

Dalam bengkel tersebut, Awang Airul turut membuat demonstrasi selepas menerangkan sedikit sebanyak mengenai sejarah dan kepentingan pemakaian tradisi silat, khususnya dalam cara-cara menapih sinjang dan menambat dastar.

ARTIKEL YANG SAMA