Bengkel pengurusan perubatan sukan tutup tirai

Bengkel pengurusan perubatan sukan tutup tirai

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Nov – Bengkel Asas Bantuan Kecemasan dan Pengurusan Kecederaan Sukan Kali Pertama anjuran Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD) dengan kerjasama Pusat Pemulihan Perubatan Sukan (Sport Medical Recovery Center – SMRC), Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan berakhir hari ini.

Walau bagaimanapun para pesertanya masih perlu menjalani penempatan bekerja selama 20 jam di SMRC sebelum boleh menerima sijil tamat kursus dan diiktiraf sebagai Pegawai Perubatan (Medik) yang cekap.

Peserta bengkel seramai 20 orang itu masing-masing mewakili kelab-kelab bola sepak Liga Super, Liga Perdana, Liga Futsal Brunei dan Persatuan Pengadil Bola Sepak Negara Brunei Darussalam.

Bengkel itu merupakan satu lagi inisiatif NFABD untuk mengingkatkan pembangunan bolasepak dan futsal di Negara Brunei Darussalam khususnya dalam memantapkan urus tadbir dan perjalanan pentadbiran kelab-kelab bolasepak dan futsal di negara ini.

Para peserta Bengkel Asas Bantuan Kecemasan dan Pengurusan Kecederaan Sukan bersama Haji Abdul Razak (berdiri lima dari kiri) dan Dr Haji Danish (berdiri enam dari kiri).
Para peserta Bengkel Asas Bantuan Kecemasan dan Pengurusan Kecederaan Sukan bersama Haji Abdul Razak (berdiri lima dari kiri) dan Dr Haji Danish (berdiri enam dari kiri).

Bengkel dua hari yang merangkumi teori dan amali itu adalah untuk memberikan ilmu pengetahuan asas dalam bidang perubatan sukan dan pengurusan kecederaan kepada para peserta khususnya dalam sukan bola sepak dan futsal.

Antara topik menarik berkaitan bolasepak dan futsal yang didedahkan kepada para peserta di sepanjang kursus berkenaan ialah Kecederaan Lazim Dalam Bolasepak (pengurusan dan bantuan kecemasan), Kecederaan dan Bantuan Kecemasan di Tepi Padang/Gelanggang (amali), Pengurusan Kecederaan di Tepi Padang dan Urutan untuk Kecederaan Lazim.

Turut hadir di sepanjang bengkel yang mengambil tempat di Bilik Juri, Stadium Negara Hassanal Bolkiah yang dimudahcara oleh warga kerja SMRC termasuk Ketua SMRC sendiri iaitu Dr. Haji Danish Zaheer itu ialah Pemangku Setiausaha Agung NFABD, Haji Abdul Razak bin Haji Hasbullah.

ARTIKEL YANG SAMA