Bengkel penyembelihan mengikut syarak

Bengkel penyembelihan mengikut syarak

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Dis – Dalam usaha untuk memberikan pendedahan kepada umat Islam di negara ini mengenai cara-cara penyembelihan menurut Hukum Syarak, Bengkel Penyembelihan Secara Islam telah diadakan di Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit Mukim Kilanas, hari ini. Bengkel sehari itu disertai oleh lebih 90 orang peserta yang terdiri daripada ahli jawatankuasa takmir masjid, jemaah masjid dan ahli-ahli kumpulan belia masjid-masjid di kawasan Brunei Zon 3A dan 3B.

Penyampaian sijil kepada para peserta di akhir bengkel telah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Harun bin Haji Junid.

Ketua Imam Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Haji Saufi bin Haji Suhaini, selaku Pengerusi Bersama, menjelaskan bahawa agama Islam memerintahkan penganutnya supaya memakan rezeki daripada makanan dan minuman yang baik lagi halal.

Ini adalah kerana, sumber pemakanan yang diperolehi dan seterusnya masuk meresapi ke tubuh badan itu akan dapat mempengaruhi tabiat dan akhlak diri seseorang.

Haji Harun menyempurnakan penyampaian sijil kepada salah seorang peserta bengkel.
Haji Harun menyempurnakan penyampaian sijil kepada salah seorang peserta bengkel.
Haji Saufi semasa menyampaikan ucapan.
Haji Saufi semasa menyampaikan ucapan.

Menurut beliau lagi, salah satu cara untuk mendapatkan makanan yang halal itu adalah melalui proses penyembelihan binatang ternakan yang dibenarkan oleh syarak.

Bengkel tersebut merangkumi pembelajaran secara teori dan amali di mana para peserta telah diberikan pendedahan secara praktikal malah mereka juga digalakkan untuk membawa apa jua binatang seperti ayam atau burung.

Bengkel berkenaan merupakan anjuran Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara dan Jawatankuasa Takmir Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, dengan kerjasama Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah sempena dengan sambutan Maulidur Rasul S.A.W bagi tahun 1437H.

ARTIKEL YANG SAMA