Bengkel tingkat keselamatan di tapak projek

Bengkel tingkat keselamatan di tapak projek

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Sept – Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui Jabatan Pentadbiran dan Kewangan, buat julungjulung kalinya telah mengadakan Bengkel Peta Jalan Budaya Keselamatan Strategik sebagai sebahagian daripada pelan tindakan jabatan untuk mempertingkatkan tahap keselamatan di tapak projek JKR dan Kementerian Pembangunan secara khususnya.

Bengkel dua hari, yang disertai 25 orang pegawai kanan dari jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pembangunan itu telah dilancarkan oleh Pemangku Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional), Haji Marzuke bin Haji Mohsin selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung di Pusat Ujian Kemahiran Kerja dan Latihan, Kementerian Pembangunan, Lapangan Terbang Lama, Berakas.

Turut hadir ialah Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Awang Chua Pheng Keong, ketua-ketua jabatan, timbalan ketua jabatan serta ketua-ketua bahagian di JKR, Kementerian Pembangunan.

Seorang penceramah terkenal antarabangsa dalam bidang keselamatan dalam kerja telah diundang untuk mengendalikan bengkel tersebut iaitu, Profesor Dominic Cooper yang merupakan pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif BSMS Inc, sebuah syarikat perunding keselamatan global yang berpangkalan di Franklin, IN, Amerika Syarikat.

Beliau mempunyai kelulusan Ph.D dari Universiti Institut Sains dan Teknologi Manchester (UMIST).

Antara yang hadir pada pelancaran bengkel berkenaan.
Antara yang hadir pada pelancaran bengkel berkenaan.
Penceramah undangan menerangkan perihal keselamatan.
Penceramah undangan menerangkan perihal keselamatan.

Bengkel berkenaan memfokuskan kepada keselamatan dan kesihatan dalam bekerja dan sesuai untuk peringkat pengurusan kanan, untuk membentuk satu strategi keselamatan dan budaya yang sihat dalam organisasi mereka.

Ia juga membolehkan para pegawai merancang dan melaksanakan program pencegahan untuk meningkatkan amalan budaya kerja ke arah yang selamat dan sihat di bahagian masing-masing.

Menurut kenyataan JKR, bengkel ini berobjektif untuk menerangkan definisi budaya kerja selamat, merancang dan melaksanakan pengurusan mengubah budaya kerja, membangunkan strategi-strategi meningkatkan budaya kerja selamat, mewujudkan petunjuk prestasi (KPI) berkaitan budaya kerja selamat dan membuat semakan semula program membudaya keselamatan yang telah dilaksanakan. Secara keseluruhan, bengkel ini akan membantu para peserta untuk mewujudkan pelan tindakan strategik, membantu pelaksanaan budaya kerja selamat dan sihat, mengurangkan kemalangan di tempat kerja dan meningkatkan produktiviti kerja.

ARTIKEL YANG SAMA