Bengkel tulisan Jawi berakhir

Bengkel tulisan Jawi berakhir

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN,  28 April – Kolej Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) berharap dapat menganjurkan siri Bengkel Kaedah Tulisan Jawi seterusnya yang lebih panjang lagi untuk warga akademik dan bukan akademik kolej tersebut pada masa akan datang.

Penganjuran bengkel pada setiap hujung minggu selama enam minggu dengan  waktu  dua  jam  setiap sesi dijangka dapat melancarkan lagi pembelajaran ilmu asas penulisan tulisan jawi, hukum-hukum berkaitannya serta seni khat yang terkandung dalam penulisan jawi.

Perkara itu dinyatakan oleh Penolong Pensyarah, Pusat ilmu Teras KUPU SB, Awang Mohammad Amirol bin Abdul Rahim yang ditemui pada Majlis Penutup Bengkel Kaedah Tulisan Jawi , yang berlangsung di Dewan Taklim KUPU SB, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Ra’es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar.

Bengkel selama dua hari yang disertai seramai 120 orang kakitangan akademik dan bukan akademik KUPU SB itu merupakan salah satu perancangan bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mengeja tulisan Jawi untuk warga KUPU SB.

Bengkel itu dikendalikan oleh dua fasilitator, iaitu Jurutulis Jawi Kanan dari Unit Pelaksanaan Bahasa dan Unit Jawi, Dewan Bahasa dan Pustaka, Haji Alias bin Ghafar dan Pegawai Bahasa dari unit sama, Awang Raieham bin Mohd Salleh.

Sebanyak dua sesi telah pun dijalankan bagi merealisasikan hasrat tersebut yang pada awalnya dikhususkan kepada staf bukan akademik kolej tersebut pada 3 Jun 2015 serta 9 dan 29 Disember 2015.

Program tersebut juga merupakan salah satu usaha bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Majlis Konvokesyen ketiga KUPU SB, 3 November 2013.

Pada majlis itu, Baginda bertitah supaya tulisan jawi dapat dipertahankan dan diperkasa kerana ia mempunyai identiti bangsa Brunei.

Objektif bengkel itu ialah untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan memperkasakan penggunaan tulisan dan ejaan Jawi sebagai budaya harian dalam kalangan warga KUPU SB.