Benitez gugur Bale, Modric

Benitez gugur Bale, Modric

MADRID, 8 Dis – Jurulatih Real Madrid, Rafael Benitez mengetepikan Gareth Bale dan Luka Modric dalam skuad kendaliannya untuk aksi bertemu juara Sweden, Malmo, awal pagi esok dengan kelab gergasi Sepanyol itu sudah pun layak ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Rekod pertemuan Real yang lebih baik menentang Paris Saint-Germain menyaksikan juara 10 kali itu akan tetap menjuarai Kumpulan A tidak kira apa jua keputusan pada pertemuan dengan Malmo.

Benitez menyifatkan keutamaannya kini adalah aksi bertemu Villareal dalam saingan Liga Sepanyol.

“Ia adalah hari yang memerlukan kami melakukan perubahan tetapi dengan sasaran utama adalah untuk menang,” kata Benitez.

“Kami berpuas hati kerana layak sebagai juara kumpulan, tetapi kami mahu kekal mencatat kemenangan dan menguruskan kedua-duanya.

Rafa Benitez ketika satu sidang media menjelang perlawanan menentang Malmo. - AFP
Rafa Benitez ketika satu sidang media menjelang perlawanan menentang Malmo. – AFP

“Kemungkinan untuk menang dan menukar beberapa pemain adalah untuk memastikan semua berada pada tahap prestasi terbaik menentang Villareal.”

Kiko Casilla akan mendapat satu lagi peluang untuk membuktikan kemampuannya dengan penjaga gol utama, Keylor Navas turut diketepikan daripada skuad.

Real menerima suntikan semangat menjelang pertemuan dengan Villareal selepas kapten, Sergio Ramos kembali menjalani latihan, semalam.

Benitez berkata pemain antarabangsa Sepanyol itu yang berehat tiga bulan kerana mengalami kecederaan bahu tidak akan diturunkan menentang Malmo tetapi dijangka cergas sepenuhnya bagi pertemuan dengan Villareal. – AFP