Benitez Jurulatih baru Real Madrid

Benitez Jurulatih baru Real Madrid

MADRID, 4 Jun (Reuters) – Rafa Benitez dilantik jurulatih baharu Real Madrid untuk tempoh tiga musim, umum kelab gergasi Sepanyol itu, hari ini.

Benitez, 55, meninggalkan kelab Itali, Napoli penghujung musim ini bagi mengambil alih tugas daripada pengendali kelahiran Itali, Carlo Ancelotti di Bernabeu.

“Real Madrid akan memperkenalkan Rafa Benitez sebagai jurulatih baharu bagi tempoh tiga musim pada Rabu, 3 Jun,” kata kenyataan yang dikeluarkan dalam lama web kelab itu.

Ancelotti disingkirkan selepas hanya 12 bulan membimbing kelab itu sekali gus menamatkan penantian 12 tahun dengan menjuarai trofi Liga Juara-Juara Eropah ke-10 kelab itu, musim lalu.

Begitupun, kegagalan Real untuk menjulang sebarang trofi utama musim ini membawa kepada penyingkirannya.

Benitez sewaktu diumumkan sebagai jurulatih baru kelab Real Madrid. - AFP
Benitez sewaktu diumumkan sebagai jurulatih baru kelab Real Madrid. – AFP

Benitez sebelum ini pernah bergelar jurulatih remaja Real pada era 1990-an sebelum membimbing beberapa kelab ternama di Sepanyol dengan falsafah tersendiri.

Melakar nama bersama Valencia dengan cemerlang membimbing kelab itu menjuarai dua gelaran La Liga, Benitez kemudian berhijrah ke Liverpool dan menjulang trofi Liga Juara dan Piala FA selama enam tahun di England.

Selepas meninggalkan Merseyside, dia kemudian berpindah ke Itali untuk menyertai Inter Milan namun hanya bertahan selama tiga bulan pada musim 2010-11.

Kembali ke England untuk mengemudi Chelsea selaku jurulatih sementara, Benitez kemudian membimbing kelab Itali, Napoli.

Menjuarai Piala Itali dan menamatkan saingan Serie A di kedudukan ketiga, musim lepas menjadi antara kejayaan Benitez namun penampilan terakhirnya minggu lalu berakhir dengan kekalahan 4-2 kepada Lazio yang memaksa Napoli terkeluar daripada saingan Liga Juara musim depan.

ARTIKEL YANG SAMA