Benitez kelu

Benitez kelu

MADRID, 15 Dis (AFP) – Jurulatih Real Madrid, Rafael Benitez hilang kata-kata untuk menjelaskan persembahan buruk skuad bimbingannya selepas mereka ditimpa kekalahan ketiga dalam lima perlawanan La Liga apabila tewas 1-0 kepada Villarreal, semalam.

Real kini ketinggalan di belakang pendahulu Barcelona dan Atletico Madrid dengan lima mata selepas gagal bangkit daripada ketinggalan hasil jaringan Roberto Soldado pada minit kelapan.

Los Blancos yang beraksi hambar dalam babak pertama berusaha bangkit selepas rehat, namun mempersiakan beberapa peluang terbaik termasuk peluang meledak hatrik menerusi penyerang bermasalah Perancis, Karim Benzema.

Cristiano Ronaldo pula terus tenggelam dan kekalahan 0-1 meningkatkan tekanan ke atas Benitez.

“Sukar untuk menjelaskan. Dalam babak pertama kami gagal bermain baik dan saya menjangkakan pasukan bangkit sebaik perlawanan disambung, walaupun percubaan kami tidak tepat ke sasaran,” kata Benitez.

Benitez hilang kata-kata untuk menjelaskan persembahan buruk Real selepas tewas 1-0 kepada Villarreal dalam aksi La Liga. – AFP
Benitez hilang kata-kata untuk menjelaskan persembahan buruk Real selepas tewas 1-0 kepada Villarreal dalam aksi La Liga. – AFP

Real berpeluang merapatkan jurang dengan pendahulu Barca jika memenangi perlawanan semalam selepas kelab Catalan itu keciciran dua mata di laman sendiri, Sabtu lalu apabila seri 2-2 dengan Deportivo la Coruna.

Benitez enggan mengakui, pasukannya kini semakin jauh dari jangkauan untuk merangkul gelaran ketika saingan berbaki 23 perlawanan, namun dia menerima hakikat bahawa barisan pemain bintangnya tidak mampu memanfaatkan kesempatan pada ketika Barca keciciran mata.

“Saya menegaskan di dalam liga ini, semua pasukan akan terlepas mengutip mata. Apa yang penting ialah mengharungi perlawanan seperti yang kami lakukan dalam babak kedua, yang mana ia menjanjikan jaminan untuk mencipta kemenangan.

“Saya tidak gembira sama sekali dengan persembahan separuh masa pertama dan saya rasa tindak balas yang dipamerkan dalam babak kedua wajar dicontohi. Malang sekali, hari ini (semalam) kami gagal mengutip tiga mata penuh.

“Ternyata kami sedar untuk berjuang dalam liga, mencatat kemenangan dalam banyak perlawanan amat penting,” kata bekas jurulatih Liverpool itu.