Benitez mahu sambar tiga mata penuh lawan Man City

Benitez mahu sambar tiga mata penuh lawan Man City

LONDON, 19 April (AFP) – Rafael Benitez (gambar) memberitahu pemain Newcastle United agar memanfaatkan peluang daripada corak permainan Manchester City yang mungkin terjejas disebabkan fokus untuk menghadapi separuh akhir Liga Juara-Juara apabila kedua-dua pasukan bertemu, awal pagi esok.

Newcastle yang masih berada dalam zon penyingkiran biarpun mencatat kemenangan 3-0 ke atas Swansea City, minggu lalu dijangka akan keluar daripada kelompok tiga terbawah liga jika berjaya menewaskan City. City pula dilihat lebih tertumpu kepada persiapan bagi menghadapi Real Madrid menjelang aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara.

Walaupun skuad kendalian Manuel Pellegrini dalam usaha menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di kelompok empat teratas namun bekas pengendali Real, Benitez berharap pertemuan kelab itu dengan gergasi Sepanyol berkenaan mampu memberi kelebihan kepada Newcastle.

“Saya pasti Pellegrini akan cuba melakukan itu (membuatkan pemain kekal fokus), tetapi dalam masa sama kamu memikirkan mengenai separuh akhir yang pastinya penting.

Britain Soccer Premier League

“Kamu boleh mara ke final dan mempunyai peluang untuk memenangi aksi final, jadi bayangkan jika kamu mengalami kecederaan atau sebarang masalah.

“Jadi, saya fikir pemain akan memikirkan mengenai itu – diharapkan mereka semua memikirkannya,” kata Benitez yang dipecat Real awal musim ini.

“Namun, mereka profesional dan akan cuba untuk menang. Mereka di kedudukan terbaik dalam saingan liga dan mereka mahu cuba untuk kekal dalam kelompok empat teratas.

“Namun, kamu juga pastinya fikirkan mengenai kecederaan pemain dan memaksa mereka tidak boleh bermain di separuh akhir,” tambah pengurus Newcastle itu.