Benitez mahu terus bimbing Newcastle

Benitez mahu terus bimbing Newcastle

LONDON, 16 Mei (Agensi) – Rafa Benitez berhasrat terus kekal di Newcastle United sebagai pengurus musim depan walaupun mereka tersingkir dari Liga Perdana Inggeris.

Pengendali dari Sepanyol itu yang memulakan musim di Real Madrid, dilantik oleh Newcastle pada Mac untuk cuba mengeluarkan pasukan itu daripada zon penyingkiran, namun hasilnya gagal dicapai.

Namun The Magpies menampilkan aksi mengejutkan apabila membelasah penghuni tangga ketiga, Tottenham Hotspur 5-1 malam tadi dan nama Benitez dinyanyikan oleh peminat yang melihat dia sebagai orang yang membimbing pasukan itu kembali ke laluan sebenar.

Dia mempunyai perjanjian dalam kontraknya yang mengatakan dia boleh meninggalkan Newcastle jika kelab itu jatuh, tetapi sedang dalam perbincangan bersama pemilik kelab, Mike Ashley untuk membolehkan dirinya kekal lebih lama.

“Hati saya mengatakan iya, ini adalah peluang terbaik untuk bandar dan kelab ini,” Benitez memaklumkan kepada BBC Sport. “Tetapi saya sedang meneliti apa yang sedang berlaku,” katanya. Benitez berkata, beliau kagum dengan sokongan yang diterima sejak mengambil alih daripada Steve McClaren.

“Saya sudah berada dalam bola sepak selama ini. Anda mahu pastikan orang suka anda dan jika anda bekerja keras, dan mereka akan sedar apa anda cuba buat dan saya ada perkara itu di sini,” katanya.

“Saya tahu apabila saya berjalan di jalan raya, semua orang begitu positif, suasana hari ini tidak terlalu banyak mengejutkan saya. Mereka menyokong untuk 90 minit, saya tahu ia akan menjadi seperti ini dan itulah sebabnya saya begitu terbuka untuk terus bercakap.”

“Ia mengecewakan kerana kita mahu kekal, tetapi pemain memberikan segala-galanya. Kita tidak boleh mengubah apa yang sudah berlaku tetapi kita perlu memastikan bahawa segala-galanya adalah baik untuk masa depan.”