Benitez: Satu penghormatan kendali Real Madrid

Benitez: Satu penghormatan kendali Real Madrid

MADRID, 6 Jan (AFP) – Bekas pengurus Real Madrid, Rafael Benitez menyifatkan ia ‘penghormatan dan keistimewaan’ buat dirinya selepas diberi peluang membimbing kelab gergasi Sepanyol itu tatkala mengucapkan selamat berjaya kepada penggantinya, Zinedine Zidane.

Dalam surat dimuat naik dalam bahasa Inggeris dan Sepanyol di laman web miliknya, rafabenitez.com, jurulatih berumur 55 tahun itu berkata: “Saya mahu semua orang di kelab ini termasuk lembaga pengarah, eksekutif, pekerja dan peminat tahu, ia adalah satu penghormatan dan keistimewaan untuk membimbing kelab ini.”

Benitez dipecat malam Isnin selepas tempoh tujuh bulan yang tidak menggembirakan di Santiago Bernabeu, menyaksikan Real menduduki tempat ketiga La Liga, empat mata di belakang pendahulu, Atletico Madrid.

Real tersingkir daripada saingan Copa del Rey kerana menurunkan pemain tidak layak dalam perlawanan menentang Cadiz tetapi berjaya melepasi 16 pasukan terakhir saingan Liga Juara-Juara Eropah yang menyaksikan mereka menentang Roma.

“Sebagai seorang Madridista (peminat Madrid) dari Madrid, kekal dengan tradisi dan nilai institusi ini …ia adalah satu penghormatan dapat bekerja buat kelab ini.

Benitez tetap menghargai masanya bersama Real Madrid walaupun hanya separuh musim. – AFP
Benitez tetap menghargai masanya bersama Real Madrid walaupun hanya separuh musim. – AFP

“Saya mahu mengucapkan terima kasih khususnya buat semua … Yang memberi saya sokongan sejak hari pertama saya berada di sini dan memudahkan kerja saya. Terima kasih atas bantuan anda semua.

“Saya mahu mengucapkan semoga berjaya buat Zinedine Zidane, pengganti saya dan pegawainya. Kepada semua pemain, jurulatih dan pegawai di kedua-duanya – Valdebebas (tempat latihan) dan Bernabeu, saya mengucapkan semoga berjaya.”

Kenyataan Benitez itu hadir meskipun dia terpaksa bergelut mendapatkan penghormatan daripada skuadnya yang dibarisi bintang dengan pemain senior meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pemecatan Carlo Ancelotti sebelum itu.

Tiga kekalahan liga dalam lima perlawanan pada November dan Disember, termasuklah tewas 4-0 di tempat sendiri kepada Barcelona, menyebabkan dia terpaksa keluar awal selepas memulakan 14 perlawanan awal tanpa tewas.

Lebih memalukan apabila tersingkir daripada saingan Copa del Rey manakala hubungannya bersama pemain utama termasuk Karim Benzema dan James Rodriguez di bilik persalinan kekal suram apabila gara-gara mereka sering diturunkan sebagai gantian.

ARTIKEL YANG SAMA