Benitez sokong Benzema

Benitez sokong Benzema

MADRID, 2 Dis (AFP) – Pengurus Real Madrid, Rafael Benitez terus mengulangi sokongan terhadap penyerang Perancis, Karim Benzema ketika kritikan terhadap pemain itu di negara kelahirannya atas kelakuannya ‘di luar padang’ kian memuncak.

Benzema ketika ini berdepan dakwaan di mahkamah atas tuduhan terbabit dengan kes peras ugut rakaman video seks membabitkan rakan sepasukannya dalam kem antarabangsa Perancis, Mathieu Valbuena.

Terbaharu, Perdana Menteri Perancis, Manuel Valls turut mengkritik tindakan Benzema namun kelab gergasi Sepanyol, Real menegaskan akan terus menyokong penyerang berusia 27 tahun.

“Saya menganggap dia adalah pemain yang amat penting kepada kami,” kata Benitez, semalam. “Pada pendapat peribadi, saya pernah berkata sebelum ini yang dia adalah lelaki yang hebat dan dia mendapat sokongan kami.

“Dia adalah pemain yang penting buat kami kerana dia mempunyai kualiti di bahagian depan dan menjadikan sesiapa yang bermain bersamanya bertambah baik.”

Benitez (kiri) terus menyokong Karim Benzema (kanan) walaupun sikap pemain itu ‘di luar padang’ terus dikritik. – Reuters
Benitez (kiri) terus menyokong Karim Benzema (kanan) walaupun sikap pemain itu ‘di luar padang’ terus dikritik. – Reuters

Bekas pemain antarabangsa Perancis, Djibril Cisse yang turut disiasat oleh polis atas kes sama berkata Benzema berhak dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

“Buat ketika ini, dia sedang disiasat namun dia masih belum diadili dan tidak pernah didapati bersalah,” kata Cisse kepada AFP. “Berikan dia ruang, masa untuk memberi penerangan dan biar keadilan jalankan tugasnya.

“Seperti ramai lagi orang Perancis, saya menunggu untuk mendengar apa yang ingin dikatakannya. Namun saya tidak berada di sini untuk menghukumnya dan biarkan kepada undang-undang dan polis untuk menentukannya.”

Valls sebelum ini menyuarakan kekecewaannya terhadap Benzema dan berkata bintang bola sepak itu tidak layak untuk menyarung jersi kebangsaan Perancis. Benzema diletakkan dalam kesebelasan utama Real yang mencatat kekalahan memalukan 4-0 di laman sendiri bertemu Barcelona, 10 hari lalu, kira-kira selepas enam minggu tersisih akibat kecederaan hamstring.

Pada perlawanan Liga Juara-Juara menentang Shakhtar Donetsk dan La Liga bertemu Eibar, minggu lalu, dia diletakkan sebagai pemain gantian.