Benitez tolak De Gea

Benitez tolak De Gea

GUANGZHOU, China, 28 Julai (AFP) – Pengendali Real Madrid, Rafael Benitez menolak khabar angin kelab gergasi Sepanyol itu sedang melobi untuk mendapatkan David de Gea dari Manchester United dan yakin Sergio Ramos akan kekal bersama kelab itu.

Kelab Inggeris, Man United, semalam mendapatkan khidmat penjaga gol Argentina, Sergio Romero yang menguatkan spekulasi perpindahan De Gea ke negara kelahirannya. Begitupun, perjanjian itu dijangka membabitkan kapten Real, Ramos ke Old Trafford.

“De Gea?” kata Benitez ketika ditanya wartawan yang berterusan menyoal mengenai perpindahan terbabit. “Apa yang saya tahu ialah kami menjaringkan tiga gol dan saya amat gembira.”

Benitez berkata demikian selepas kelab bimbingannya mencatat kemenangan 3-0 ke atas kelab Itali, Inter Milan di Guangzhou. Ketiga-tiga gol Real dijaringkan Jese, Raphael Varane dan James Rodriguez.

Dalam pada itu, Benitez turut menambah pertahanan Sepanyol, Ramos sudah menemui presiden kelab itu, Florentino Perez di Guangzhou yang menguatkan kepercayaannya tonggak pertahanannya itu tidak akan berhijrah ke mana-mana kelab dan akan menandatangani kontrak baharu tidak lama lagi.

Rafael Benitez menunggu perlawanan Piala Juara-Juara Real Madrid dan Inter Milan di Stadium Tianhe di Guangzhou, semalam. – AFP
Rafael Benitez menunggu perlawanan Piala Juara-Juara Real Madrid dan Inter Milan di Stadium Tianhe di Guangzhou, semalam. – AFP

“Saya bertanya kepada Perez mengenai pertemuan dengan Ramos selepas makan malam pada Ahad. Dia memberitahu saya kedua-dua pihak optimis. Saya juga optimis,” kata Benitez.

Ketika ditanya hubungannya dengan bintang Portugal Cristiano Ronaldo, Benitez berkata hubungan mereka masih dalam keadaan baik. Beliau tidak kisah sekiranya Ronaldo melenting ketika sesi latihan selagi dia (Ronaldo) memperagakan aksi menarik ketika beraksi di atas padang.

Ronaldo mengejutkan ramai pihak selepas tidak berpuas hati dengan Benitez ketika latihan baru-baru ini walaupun beraksi cemerlang semasa menundukkan Manchester City 4-1.

“Hubungan saya dengannya baik. Apabila seseorang marah ketika latihan tetapi melakukan tugas mereka dengan baik ketika perlawanan, tidak menjadi masalah buat saya,” kata Benitez yang membimbing Napoli musim lepas.

ARTIKEL YANG SAMA