Benitez yakin

Benitez yakin

LVIV, 26 Nov (Reuters) – Pengurus Real Madrid, Rafa Benitez benar-benar yakin para pemainnya, termasuk penyerang Cristiano Ronaldo, berada di belakangnya selepas dibelasah 0-4 oleh seteru lama Barcelona dalam perlawanan Clasico La Liga, Sabtu lalu.

Benitez yang kini berada dalam keadaan tertekan perlu berterima kasih kepada Presiden Real, Florentino Perez di atas kepercayaan yang diberikan, dan berkata dalam sidang akhbar menjelang perlawanan Kumpulan A menentang Shakhtar Donetsk bahawa dia tiada konflik dengan Ronaldo.

Pengurus berusia 55 tahun itu menafikan laporan media bahawa penjaring terbanyak kelab Sepanyol itu tidak gembira berada di bawah kendaliannya.

“Laporan tersebut tidak benar. Cristiano seorang pemain yang bekerja keras dan merupakan pemain tonggak kepada pasukan kami. Tetapi kami akan cuba untuk tidak terlalu bergantung kepada seorang pemain,” kata Benitez kepada pemberita.

Benitez menggantikan Carlo Ancelotti pada Jun lalu, tetapi Real gagal bermula baik di awal pengambilalihannya dan telah tewas dalam dua perlawanan terakhir yang menyaksikan mereka menghuni kedudukan ketiga La Liga, enam mata di belakang pendahulu Barcelona dan dua mata di bawah Atletico Madrid.

“Kami berjaya mencatat keputusan baik kecuali dalam dua perlawanan terakhir. Kami sangat kecewa tumpas di tangan Barca yang merupakan perlawanan penting kepada kami.

“Sudah tentu, saya berterima kasih kepada eksekutif yang menyokong saya. Kami telah belajar daripada kesilapan dalam perlawanan menentang Barca dan saya berharap dua kekalahan terakhir tidak menjejaskan perpaduan pasukan kami,” kata Benitez.

Real telah memenangi tiga perlawanan dan seri sekali dalam kempen Liga Juara-juara musim ini apabila mendahului Kumpulan A dengan tiga mata di depan Paris St Germain, dan Benitez menegaskan, skuad bimbingannya berada di landasan yang tepat.

“Saya amat yakin bahawa para pemain masih percaya kepada saya. Saya sedar tentang tanggungjawab saya untuk mendapatkan kemenangan dan memberikan yang terbaik agar penyokong gembira.

“Meskipun mempamerkan keputusan baik saya masih tetap dikritik dan kadang kala saya tidak sepatutnya menerima kritikan sedemikian. Dalam situasi begini apa yang boleh saya lakukan ialah memberi tumpuan kepada tanggungjawab saya.

“Saya telah berada dalam bola sepak sejak sekian lama dan amat memahami dua kekalahan yang menimpa pasukan tidak seharusnya membawa kepada pemecatan saya,” ujar Benitez.

ARTIKEL YANG SAMA