Bentang model di Bandung

Bentang model di Bandung

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Feb – Sebuah pasukan dari Politeknik Brunei akan bertanding dalam kategori Pertandingan Reka Bentuk Pelantar Minyak semasa Integrated Petroleum Week 2016 (IPWeek16) di Institut Teknologi Bandung (ITB), Bandung, Indonesia, pada 26 Februari ini.

Acara berkenaan dianjurkan oleh Persatuan Jurutera-jurutera Petroleum (SPE) Bab Pelajar ITB.

Pasukan yang diberi nama ‘Black Gold Digger’ itu dianggotai oleh lima orang pelajar iaitu Dayang Fatin Hazidah binti Haji Jalil, Awang Mohammad Ibrahim bin Haji Mohamed Husaini, Awang Mohammad Syafiq bin Abdul Kani, Dayang Nadiah Hassan, dan Awang Muhammad Syafi’e bin Haji Zulkifli.

Mereka akan diiringi oleh pensyarah dari Program Kejuruteraan Telaga, Awang Muhammad Aizuddin bin Roslan dan Pemangku Penolong Pengarah Politeknik Brunei, Awang Alias bin Haji Abu Bakar selaku pengurus pasukan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, hari ini, pasukan Politeknik Brunei adalah satu-satunya pasukan dari Brunei Darussalam yang akan bertanding dengan pasukan dari universiti dan politeknik lain termasuk Universiti Teknologi Malaysia, Trisakti University, Institut Teknologi Bandung, Universitas Indonesia dan Universitas Pembangunan Nasional ‘Veteran’ Yogyakarta.

Pasukan Politeknik Brunei yang akan bertanding dalam kategori Pertandingan Reka Bentuk Pelantar Minyak di Bandung, Indonesia, pada 26 Februari ini.
Pasukan Politeknik Brunei yang akan bertanding dalam kategori Pertandingan Reka Bentuk Pelantar Minyak di Bandung, Indonesia, pada 26 Februari ini.

Dalam pertandingan itu, pasukan perlu membentangkan model pelantar minyak yang telah mereka hasilkan sebelum acara berdasarkan spesifikasi model pelantar yang telah ditetapkan dan dengan bajet bagi bahan-bahan kurang daripada AS$100.

Pasukan akan berentap dalam satu siri ujian yang termasuk pembentangan model pelantar minyak berdasarkan cetak biru yang telah dihantar semasa proses pemilihan awal, ujian muatan, ujian keupayaan mengapung dan membuat pembentangan selama 10 minit untuk menjelaskan reka bentuk pelantar minyak mereka kepada satu panel pakar-pakar.

Menurut kenyataan itu lagi, semasa pertandingan, pasukan berkenaan dijangka berdepan cabaran-cabaran hebat daripada pasukan-pasukan dari pelbagai negara. Oleh itu, pelajar-pelajar Politeknik Brunei mestilah meningkatkan kerjasama, kreativiti, kemahiran inovasi dan keazaman mereka untuk membuat yang terbaik.

Dengan menyertai pertandingan ini, para pelajar berkenaan akan mendapat pendedahan dalam pertandingan antarabangsa yang akan membantu pembangunan diri mereka. Pada masa yang sama, mereka akan dapat mengembangkan pemahaman mereka ke arah pembangunan dan teknologi-teknologi terkini dalam industri minyak dan gas. Acara berkenaan juga akan menghimpunkan para pelajar dan pakar-pakar dalam industri yang berkaitan dengan minyak dan gas, yang akan menyediakan mereka platform untuk bertukar-tukar pengalaman, idea dan penyelesaian mengenai masalah-masalah minyak dan gas serta mengukuhkan persahabatan dalam kalangan pelajar di antara universiti dan pakar-pakar industri dan gas.

Pasukan berkenaan menerima sokongan kewangan dan teknikal daripada Kementerian Pendidikan, Politeknik Brunei dan Syarikat Brunei Shell Petroleum Sdn Bhd.

ARTIKEL YANG SAMA