Benteke jalani ujian kesihatan

Benteke jalani ujian kesihatan

LONDON, 22 Julai – Christian Benteke dijadual menjalani pemeriksaan kesihatan di London sebagai langkah melengkapkan perpindahan bernilai 32.5 juta pound ke Liverpool.

Liverpool bersetuju dengan perjanjian yang ditetapkan bagi mendapatkan khidmat penyerang dari Aston Villa itu minggu lalu, selepas mencapai persetujuan ke atas klausa pelepasan yang terdapat dalam kontrak bintang Belgium tersebut.

Perincian mengenai perjanjian itu dibincangkan pada hujung minggu lalu, selepas Ketua Pegawai Eksekutif Liverpool, Ian Ayre dan rakan sejawatnya dari Aston Villa, Tom Fox mencapai kata sepakat.

Doktor pasukan Liverpool, Andy Massey diterbangkan ke England ketika Reds sedang terbabit dalam jelajah pra musim di Australia dan Asia, bagi melihat laporan perubatan pemain itu di London.

Ujian kesihatan Benteke berkemungkinan berlanjutan selama dua hari dan sekiranya semua berjalan dengan baik, dia akan menjadi sebahagian daripada skuad Liverpool kurang daripada 48 jam, selain menjadi pemain kedua termahal di dalam kelab tersebut.

Benteke bakal menyarung jersi Liverpool untuk musim depan. – Reuters
Benteke bakal menyarung jersi Liverpool untuk musim depan. – Reuters

Pemain berusia 24 tahun itu tidak akan mengikuti siri jelajah pra musim sebaliknya akan bersama rakan sepasukan, Phillipe Coutinho dan Roberto Firmino yang kini berada di Melwood menjalani latihan selepas terlibat dengan Copa America.

Brendan Rodgers berjaya mendapatkan pemain yang memiliki rekod cemerlang ke atas Liverpool dengan Benteke menjaringkan lima gol daripada enam pertemuan sebelum ini.

Benteke yang memiliki baki kontrak dua tahun bersama Villa berjaya menjaringkan 49 gol daripada 101 penampilan bersama kelab itu sejak menyertainya pada 2012 daripada Genk. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA