Benteke muncul wira Liverpool

Benteke muncul wira Liverpool

LONDON, 31 Dis (Reuters) – Christian Benteke sekali lagi muncul wira untuk menghukum pasukan yang sedang bergelut, Sunderland 1-0, awal pagi tadi, sekali gus membawa Liverpool berkongsi mata dengan Manchester United yang menghuni tangga keenam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Penyerang Belgium itu memecah kebuntuan 22 saat selepas rehat dan menyumbat gol keenam dalam kempen musim ini, jaringan paling pantas di separuh masa kedua dalam saingan EPL musim ini.

Liverpool, yang menewaskan Leicester City 1-0, Sabtu lalu dengan satu lagi gol pada babak kedua dari Benteke kini mengumpul 30 mata daripada 19 perlawanan, tetapi pasukan Juergen Klopp berada di belakang Manchester United dengan perbezaan gol.

Sunderland menduduki tangga kedua paling bawah liga dengan 12 mata selepas lima kekalahan berturut-turut dan ketinggalan tujuh mata dari zon selamat.

Christian Benteke ketika menjaringkan gol buat Liverpool, kelmarin. – Reuters
Christian Benteke ketika menjaringkan gol buat Liverpool, kelmarin. – Reuters

“Tiga mata, hasil kerja keras,” kata Klopp. “Ia bukan aksi yang terbaik yang kami lakukan, kami mengetahuinya, tetapi kami terpaksa berjuang.

“Semua orang mahu mengakhiri tahun ini secara positif, kami melakukannya dan Sunderland gagal tetapi kami membawa pulang tiga mata ini ke rumah, tidur dan bersedia untuk perlawanan seterusnya,” katanya kepada BBC.

Sementara itu, Pengurus Sunderland, Sam Allardyce mengutuk nasib buruk Sunderland.

“Seperti bernasib baik, jaringan bertuah buat Liverpool,” katanya kepada Sky Sports.

ARTIKEL YANG SAMA