Benteke pamer belang

Benteke pamer belang

LONDON, 18 Ogos – Peraturan baharu ofsaid ‘kawasan kelabu’ memaksa Bournemouth terus kempunan untuk mengutip mata di Liga Perdana Inggeris, kata pengurus kelab pendatang baharu itu, Eddie Howe.

Gol kontroversi Christian Benteke pada minit ke-26 perlawanan dikritik kelab dari Selatan England itu yang tewas 1-0 kepada skuad The Reds dan mereka sememangnya berhak untuk merasa kecewa.

Jaringan tunggal Benteke itu dibenarkan sekalipun terdapat pembabitan Philippe Coutinho – yang ketika itu berada di dalam keadaan ofsaid.

Penjaga gol Bournemouth, Artur Boruc ketika itu sedang mengawal cubaan Coutinho di kawasan pertengahan pintu gol, sambil mengangkat tangannya namun bola itu gagal ditampan Coutinho lantas pantas disambar Benteke yang ketika itu tidak dikawal dan tidak berada dalam keadaan ofsaid mudah menjaringkan gol terbabit.

“Peraturan baharu ofsaid adalah kawasan kelabu,” kata Howe kepada Sky Sport. “Di bawah peraturan baharu, ia jelas ofsaid. Penjaga gol kami terjejas dengan pemain di depannya.

Benteke menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-26 dalam aksi liga di Anfield semalam. – Reuters
Benteke menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-26 dalam aksi liga di Anfield semalam. – Reuters

“Saya tidak bercakap banyak dengan pegawai perlawanan. Mereka melalui kerja yang sukar namun saya akan bercakap dengan mereka secara bersendirian. Saya mahukan penjelasan daripada keputusan itu.”

Sebelum musim baharu bermula, EPL mengubah peraturan membabitkan gangguan ofsaid dengan mengatakan pemain yang berada dalam keadaan ofsaid perlu dihukum sekiranya mereka cuba untuk mendapatkan bola yang hampir dengan mereka.

Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers berkata perubahan berterusan terhadap peraturan menyebabkan kekeliruan.

“Tafsiran mengenai ofsaid berubah setiap musim, jadi ia sukar,” kata pengendali kelahiran Ireland itu. “Jika kamu berada dalam keadaan ofsaid, ia adalah ofsaid.”

Bekas pengadil EPL, Graham Poll yang sebelum ini terkenal dengan kesilapannya dengan melayangkan tiga kad kuning kepada pertahanan Croatia, Josip Simunic sebelum mengarahnya keluar pada Piala Dunia 2006 berkata gol itu sepatutnya tidak dibenarkan.

“Gol Christian Benteke pada babak pertama sepatutnya tidak dibenarkan kerana jelas Philippe Coutinho berada dalam keadaan ofsaid ketika bola itu tiba namun pembantu pengadil, Harry Lennard gagal untuk melihatnya,” katanya kepada Daily Mail.

“Musim lalu, dia mungkin betul, gol ini memang sah. Namun EPL sudah memberi penerangan mengenai perubahan ini sebelum kempen bermula mengenai perubahan dalam tafsiran dan ini adalah contoh perbezaannya.

“Coutinho mungkin tidak memegang bola itu namun dia bergerak ke depan dan cuba untuk menyambarnya. Ia adalah rakaman yang mungkin akan dimainkan pada mesyuarat pengadil selepas ini,” katanya. – Reuters