Benteke sertai Liverpool

Benteke sertai Liverpool

LONDON, 20 Julai – Bintang penyerang Belgium, Christian Benteke kini hanya menunggu keputusan ujian kesihatan sebelum sah menjadi milik gergasi Liga Perdana Inggeris, Liverpool, musim depan.

Selepas beberapa bulan berunding, The Reds akhirnya mencapai persetujuan dengan Aston Villa untuk membeli penyerang berusia 24 tahun itu dengan harga 32.5 juta pound.

Benteke, yang tiba di Villa pada 2012 menerusi yuran perpindahan 7 juta pound dari kelab Belgium, Genk bagaimanapun perlu menunggu pegawai perubatan Liverpool kembali daripada menyertai jelajah pramusim pasukan di Australia dan Asia untuk menjalani ujian.

Pemain kelahiran Kinshasa, Zaire itu telah meledak 49 gol daripada 101 penampilan sepanjang tiga tahun menyarung jersi Villa.

Malah, dia juga menjadi tonggak penting yang membantu Villa mengelak daripada tersingkir dalam saingan Liga Perdana Inggeris apabila meledak 12 gol, musim lalu.

Liverpool amat memerlukan Benteke, yang masih memiliki kontrak dua tahun bersama Villa selepas melepaskan bintang muda mereka, Raheem Sterling kepada Manchester City, awal bulan ini.

Benteke akan mula menjalani latihan di Melwood minggu ini bersama dua bintang Brazil, Roberto Firmino dan Philippe Coutinho yang diberi perlepasan daripada menyertai jelajah berkenaan kerana baru kembali daripada beraksi dalam Copa America.

Pemain Belgium itu merupakan pembelian ketujuh Liverpool musim ini dan secara keseluruhan, The Reds telah membelanjakan 80 juta pound untuk membeli pemain baru.– AFP