Bentuk atlet berprestasi tinggi

Bentuk atlet berprestasi tinggi

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Mei – Pihak pengurusan dan pakar kejurulatihan diseru supaya lebih komited dan bertanggungjawab ke atas atlet di bawah pengawasan mereka melalui pemantauan yang bersistematik supaya Pusat Latihan Akademi Sukan dapat berfungsi sepenuhnya.

Sehubungan itu, Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan juga disarankan supaya membuat perancangan dalam masa terdekat bagi mewujudkan dan mengendalikan sebuah Akademi Kejurulatihan yang menumpukan kepada pembangunan kejurulatihan dan sistem latihan yang lebih spesifik dengan penggunaan sains sukan.

Saranan itu dibuat oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pusat Latihan Akademi Sukan yang berlangsung di Perkampungan Sukan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Haji Noor Jusmin bin Abdul Samad.

Yang Berhormat Pehin Haji Hazair menyampaikan ucapannya.
Yang Berhormat Pehin Haji Hazair menyampaikan ucapannya.

Pusat Latihan Akademi Sukan Jabatan Belia dan Sukan merupakan pusat kecemerlangan sukan prestasi tinggi dengan memberikan fokus kepada program latihan atlet yang teratur dan bersistematik melalui penggunaan kepakaran kejurulatihan dan kaedah sains sukan yang komprehensif dalam melahirkan atlet negara yang mampu bersaing dan mencapai kecemerlangan di peringkat serantau dan antarabangsa.

Sebanyak 29 atlet yang mewakili lima disiplin sukan akan terlibat bagi pengambilan pertama sesi 2015/2016 iaitu Karate-Do, Lawan Pedang, Pencak Silat, Taekwondo dan Wushu akan menyertai Akademi Sukan itu dan mendapat latihan sukan secara berterusan.

Yang Berhormat Pehin dalam ucapannya turut menjelaskan, rangkaian kerjasama dengan pihak-pihak yang berkepentingan seperti majlis sukan yang berdaftar dari dalam dan luar negara, badan dan kelab sukan, sekolah dan institusi pengajian termasuk Sekolah Sukan, pihak swasta dan ibu bapa juga perlu diperluas dan dipertingkatkan.

Ini kerana semua faktor itu akan menjadikan akademi sukan sentiasa relevan dan mempunyai kredibiliti yang tinggi.

Menurut beliau, penubuhan Akademi Sukan Jabatan Belia dan Sukan itu merupakan penstrukturan semula, pengemaskinian dan penjenamaan kepada program-program latihan dan perkembangan sukan yang terdapat di Jabatan Belia dan Sukan.

Penubuhan itu juga bertepatan dan bermakna sebagai satu langkah menuju ke hadapan kepada pembangunan sukan negara khususnya dalam pembangunan Program Sukan Prestasi Tinggi bagi jangka masa sederhana dan jangka panjang.

“Alhamdulillah, penubuhan Akademi Sukan ini adalah hasil daripada siri muzakarah di antara Jabatan Belia dan Sukan dengan persatuan-persatuan sukan kebangsaan yang tanpa jemu mengambil perhatian berat terhadap cabaran dan hasrat tinggi Negara untuk melahirkan dan mengasuh secara berterusan atlet-atlet elit atau berprestasi tinggi serta dapat mengharumkan nama negara di persada sukan serantau,” ujarnya.

Katanya lagi, penubuhan akademi sukan itu juga memenuhi saranan dan harapan Kementerian tersebut untuk melihat kepada pembaikan program latihan atlet berpotensi yang lebih tersusun, bersistematik dan berterusan sehingga mereka mencapai ke peringkat matang.

ARTIKEL YANG SAMA