Bentuk belia berkualiti

Bentuk belia berkualiti

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Dis – Belia merupakan aset masa depan yang sangat berharga kepada agama, bangsa dan negara di mana mereka perlu memperlengkapkan diri dengan asas keimanan yang kukuh serta menimba ilmu pengetahuan bagi menghadapi masa depan yang penuh dengan cabaran.

Ke arah itu, Pusat Dakwah Islamiah (PDI) melalui Unit Belia, Bahagian Penyebaran Dakwah, buat kali kedua telah mengungkayahkan Perkhemahan Belia Syumul yang diadakan selama 2 hari 1 malam bertempat di Bangunan Darul Huda, PDI, Kampung Pulaie.

Seramai 17 peserta telah mengikuti perkhemahan berkenaan yang terdiri daripada belia-belia lelaki.                Sebelum kursus tersebut bermula, taklimat telah disampaikan oleh Ketua Unit Belia, Dayangku Hajah Ida Fariani binti Pengiran Haji Kamaluddin. Taklimat berlangsung di Bilik Mauizzah.

Menurut kenyataan daripada PDI, Majlis Penutup Perkhemahan Belia Syumul akan digabungkan dengan Majlis Pelancaran dan Perasmian Belia Da’ie pada 10 Disember, iaitu hari Khamis bertempat di Pusat Dakwah Islamiah, Bangunan Darul Huda, jam 2:15 petang.

Taklimat yang disampaikan oleh pegawai-pegawai dari Pusat Dakwah Islamiah.
Taklimat yang disampaikan oleh pegawai-pegawai dari Pusat Dakwah Islamiah.

Dijangka hadir selaku tetamu kehormatnya ialah, Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Harun bin Haji Junid.

Perkhemahan ini akan diisikan dengan kursus pengurusan jenazah yang akan berlangsung di Masjid Pulaie, kursus menghalusi solat, lawatan ke Pusat Promosi Kesihatan, Riadah serta Kuliah Maghrib dan Subuh.

Antara fasilitator dalam perkhemahan itu nanti ialah Haji Burhanuddin bin Haji Damit, Awang Khairun Nazif bin Haji Awang Damit, dan Awangku Mohd Fuad bin Pengiran Haji Sulaiman.

Objektif perkhemahan adalah untuk membina semangat juang dan jati diri dengan meningkatkan ukhuwah dan perpaduan dalam kalangan belia, membentuk modal insan yang mantap dari segi jasmani, emosi, rohani, disiplin dan intelek sebagai persediaan mengharungi masa depan .

Perkhemahan juga diharap akan dapat menyemai semangat bekerjasama dalam satu pasukan dalam apa jua bidang yang diceburi pada masa hadapan, di samping dapat mencapai objektif dan peranan unit belia untuk melahirkan belia yang mempunyai akhlak yang mulia , berilmu, berkemahiran, berdedikasi, produktif, berupaya, berkualiti, berintigriti, dinamik dan kreatif.

ARTIKEL YANG SAMA