Bentuk keyakinan diri

Bentuk keyakinan diri

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 April – Enam orang rakan seliaan telah berjaya menamatkan Kursus Intensif Marbut Rakan Seliaan yang julung-julung kalinya diusahakan bersama Jabatan Penjara melalui Perkhidmatan Kaunseling dan Seliaan dengan rakan-rakan strategik khususnya pihak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Sehubungan itu, majlis penutup dan penyampaian sijil bagi kursus itu telah diadakan di Dewan Serba Guna, Tingkat 4, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) dan hadir menyempurnakan penyampaian sijil selaku tetamu kehormat ialah , Pengarah Urusan Yayasan, Haji Brahim bin Haji Ismail.

Kursus yang berlangsung dari 1 hingga 24 Mac lalu ini bertujuan untuk memberikan peluang dan membantu rakan seliaan dalam memperolehi pekerjaan yang bersesuaian serta memudahkan proses pengintegrasian mereka semula ke dalam masyarakat dengan menyemai nilai-nilai terpuji dan akhlak mulia.

Wakil peserta, Awang Amirul Izzat bin Haji Yahya telah meluahkan penghargaan kepada pihak Yayasan dan Jabatan Penjara di atas inisiatif serta sokongan kuat dan padu dalam mengendalikan kursus yang penuh bermakna dan sangat berfaedah dunia dan akhirat itu.

Menurutnya, sepanjang kursus tersebut, kesemua peserta menjalani kursus intensif marbut di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, di mana mereka belajar mengenai Fardu Ain, Fardu Kifayah, ilmu pengetahuan dan banyak lagi dengan bimbingan tenaga-tenaga pengajar yang mempunyai pengalaman luas.

Haji Brahim ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta.
Haji Brahim ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta.

“Banyak pengalaman yang telah ditimba sepanjang kursus ini berlangsung, ia menjadi harapan kami supaya kursus ini akan diadakan dari semasa ke semasa untuk meningkatkan lagi ilmu yang sedia ada sekalipun kursus intensif ini sebagai satu ulang kaji pengajian dan menghalusinya,” ujar beliau.

Seorang lagi peserta pula berkata, mereka telah belajar banyak perkara, dan menyatakan harapan dengan memperolehi pengalaman sebagai marbut, mereka akan diterima sebagai marbut di masjid-masjid.

Menurutnya, kursus itu bertujuan sebagai persediaan mereka supaya dapat membentuk keterampilan dan keyakinan yang tinggi dalam semua aspek di samping membentuk sahsiah diri, sifat kepimpinan serta cara pengurusan yang efektif dapat melaksanakan tanggungjawab kepada diri sendiri.

Manakala itu, Kaunselor Penjara Kanan, juga selaku Ketua Perkhidmatan Kaunseling dan Seliaan Jabatan Penjara, Pengiran Omar bin Pengiran Haji Othman berkata, kursus diadakan dalam dua peringkat, dengan peringkat pertama disertai tujuh orang penghuni Penjara Maraburong di bawah bimbingan empat orang imam dari kawasan zon Tutong.

Antara lain objektif kursus adalah untuk memberikan ilmu pengetahuan mengenai tugas dan tanggungjawab seorang marbut, selain untuk membentuk dan menanamkan nilai-nilai yang baik dan positif kepada para peserta seliaan tempatan yang mengikuti kursus berkenaan.

Kandungan isi kursus adalah seperti latihan menghalusi Fardu Ain termasuklah bab thoharah, istinja, mandi, wuduk, dan tayamum serta latihan praktikal penyempurnaan jenazah.

Para peserta juga disarankan agar menjadikan amalan dan panduan pengalaman yang diperolehi dalam kehidupan masing-masing serta memanfaatkan masa dengan lebih banyak mendekatkan diri dengan masjid, di samping mengelakkan diri daripada bergiat dengan unsur-unsur negatif atau bergaul semula dengan rakan-rakan lama yang tidak bertanggungjawab yang boleh menjerumuskan semula ke gejala sosial yang tiada penghujung.