Bentuk moral positif golongan pelajar

Bentuk moral positif golongan pelajar

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 21 Sept – Dalam usaha untuk terus memberikan kesedaran sivik dan semangat kenegaraan kepada golongan remaja ke arah pembentukan minda dan moral positif, Jabatan Penerangan telah menganjurkan Program Rakan Remaja Penerangan yang berlangsung di Dewan Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara (PJN) Pengiran Haji Abu Bakar, Kuala Belait, di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pemangku Ketua Kluster 6, Kementerian Pendidikan, Dayang Annie Sindai.

Program itu juga dihadiri sama oleh Pengetua sekolah berkenaan, Dayang Asmah binti Awang Tengah, dan seramai 100 orang terdiri daripada guru-guru dan pelajar Tahun 9 dan 10.

Acara dimulakan dengan nyanyian ramai Lagu Kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ diikuti Lagu Patriotik Bendera Negara, bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat.

Antara pengisian program itu ialah penyampaian taklimat ‘Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam’ yang telah disampaikan oleh Pegawai Penerangan selaku Ketua cawangan Penerangan Daerah Belait, Awang Mohammad Hisyam bin Idris.

Dayang Annie Sindai dan Dayang Asmah hadir pada Program Rakan Remaja Penerangan.
Dayang Annie Sindai dan Dayang Asmah hadir pada Program Rakan Remaja Penerangan.
Salah satu acara pengisian program ialah lakonan bertajuk Perlembagaan Brunei 1959 oleh pelajar-pelajar Sekolah Menengah PJN Pengiran Abu Bakar, Kuala Belait.
Salah satu acara pengisian program ialah lakonan bertajuk Perlembagaan Brunei 1959 oleh pelajar-pelajar Sekolah Menengah PJN Pengiran Abu Bakar, Kuala Belait.

Ia kemudian diteruskan dengan tayangan video ‘Kibarkanlah Dengan Megah Bendera Negara’ dan diserikan lagi dengan persembahan lakonan, persembahan Choral Reading dan bacaan syair oleh para pelajar sekolah tersebut.

Turut menghiburkan ialah persembahan nyanyian daripada salah seorang artis yang telah menjuarai Bintang Penerangan 2016, Awang Mohd Amirudin bin Haji Brahim, dan persembahan lawak jenaka oleh pelawak-pelawak tanah air dan aktiviti kuiz.

Pada penghujung program itu, tetamu kehormat turut menyampaikan hadiah kepada seramai enam orang pelajar yang berjaya menjawab kuiz berkenaan.

Program kendalian Jabatan Penerangan melalui cawangan Penerangan Daerah Belait itu adalah sebagai kaedah mendekati golongan belia dan remaja di sekolah-sekolah melalui acara yang dimuatkan termasuklah seni hiburan yang terarah dan terpimpin.

Ia juga dihasratkan bagi menyebarluaskan maklumat semasa kepada kalangan pelajar dan bagi menyuntik kepekaan mereka dalam menanamkan semangat kenegaraan dan tanggungjawab sosial, serta menjadikan mereka sebagai ejen dalam penyebaran maklumat yang positif dan berkesan kepada rakan sebaya.

ARTIKEL YANG SAMA