Bentuk pelajar hubungkan silaturahim

Bentuk pelajar hubungkan silaturahim

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 27 Julai – Program Keagamaan Senegara yang diadakan di sekolah-sekolah tumpuan di keempat-empat daerah diteruskan lagi, hari ini, dengan tema bagi bulan ini ialah “Menghubungkan Tali Silaturahim (ziarah) dan Puasa Enam”.

Di Daerah Belait, tumpuan program kendalian Jabatan Pengajian Islam ini adalah di Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Seria.

Acara telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diteruskan dengan tazkirah mengenai tema, seterusnya membaca Surah Yasin beramai-ramai sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 tahun dan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Tema bulan ini dihasratkan supaya dapat membentuk murid-murid serta pelajar-pelajar supaya sentiasa menghubungkan silaturahim kepada sesiapa sahaja khususnya sesama keluarga dan sanak saudara, termasuk jiran tetangga, sahabat handai dan kenalan dengan ziarah menziarahi sambil mengukuhkan persaudaraan sesama Islam.

pg09_150728_b

Murid-murid Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Seria yang terlibat dalam Program Keagamaan Senegara, kelmarin.
Murid-murid Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Seria yang terlibat dalam Program Keagamaan Senegara, kelmarin.

Di samping itu, ia juga untuk mendidik mereka bahawa menziarahi sesama saudara Islam amat besar pahalanya di sisi Allah, dan juga bagi mendidik mereka menunaikan Puasa Enam kerana ia merupakan Sunat Muakkadah (sunat yang dituntut).

Barang siapa yang berpuasa enam akan mendapat kelebihan seperti ia berpuasa sepanjang tahun di samping mendekatkan diri kepada Allah, tanda syukur atas nikmatNya yang banyak kepada kita dalam berbagai bentuk dan rupa.

Kedudukan Puasa Enam itu juga sama dengan orang yang sembahyang Sunat Rawatib, sesudah sembahyang fardu iaitu bagi menutupi mana-mana kekurangan yang berlaku pada puasa fardu.

ARTIKEL YANG SAMA