Bentuk sahsiah bakal graduan

Bentuk sahsiah bakal graduan

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mei – Seramai 249 bakal graduan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) 2016, julung-julung kalinya telah menyertai Program Kemantapan Akidah dan Kerohanian yang diadakan selama empat hari bermula hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis perasmian program yang berlangsung di Dewan Tarbiyah, KUPU SB ialah Pemangku Ra’es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar.

Turut hadir ialah Penolong Ra’es KUPU SB, Dr. Abang Haji Hadzmin bin Abang Haji Taha selaku pengerusi program berkenaan, dekan-dekan fakulti, pengarah-pengarah pusat, pemangku pendaftar KUPU SB serta bakal graduan KUPU SB 2016.

Majlis anjuran Bahagian Pentadbiran KUPU SB dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama semua fakulti dan pusat, KUPU SB itu telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Dr. Haji Adanan yang seterusnya menyampaikan ucapan alu-aluan.

Dr. Haji Adanan ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis perasmian program berkenaan.
Dr. Haji Adanan ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis perasmian program berkenaan.
Antara bakal graduan yang hadir pada majlis perasmian tersebut.
Antara bakal graduan yang hadir pada majlis perasmian tersebut.

Program itu akan diisikan dengan bengkel, ceramah, tazkirah serta zikir-zikir bagi pengukuhan akidah dan kerohanian bakal graduan untuk bekalan mereka apabila mereka bertugas sepenuhnya sebagai seorang pendidik nanti.

Antara tujuannya adalah untuk membentuk sahsiah para pelajar ke arah kecemerlangan insan yang bertakwa.

Selain itu, ia juga melahirkan sikap positif dan ketabahan dalam menghadapi cabaran hidup sebagai seorang pendidik, mempersiapkan diri dalam menjalankan tugas dan berhadapan dengan masyarakat, melahirkan seorang pendidik yang berwibawa serta menjadi contoh tauladan.

Program ini telah disasarkan kepada bakal graduan yang mengikuti Program Sarjana Perguruan dalam bidang Ugama, Usuluddin dan Syariah bagi sesi 2014-2016, serta Diploma Tertinggi Perguruan Ugama Lepas Ijazah, (Usuluddin dan Syariah) sesi 2013-2016.

ARTIKEL YANG SAMA