Bentuk sahsiah tangani jenayah

Bentuk sahsiah tangani jenayah

KUNAK, 14 Sept – Pembentukan sahsiah diri masyarakat yang meliputi tiga perkara iaitu bersyukur, perpaduan (solidariti) dan berkorban, penting dalam menangani jenayah rentas sempadan di perairan negara khususnya di pantai timur Sabah.

Timbalan Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Brig. Jeneral Dr Mohd Kenali Basiron berkata secara konseptualnya keselamatan negara untuk jangka panjang, berada di tangan masyarakat dan melalui sahsiah diri tinggi, ia dapat menangani masalah keselamatan sekeliling.

“Sebagai contoh kes penculikan ini bukannya mudah…ia bukan datang daripada sana, mendayung sampan, bot laju, menculik dan pergi…tetapi ia ada kaitannya dengan rakyat di sini… termasuk masalah pengurusan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta masalah pengurusan dokumentasi.

“Ini juga membabitkan perpaduan (solidariti) yang ditentukan oleh penduduk di sini…kalau masyarakat di sini secara rela hati tidak mahu orang lain (PATI) datang ke sini maka pasukan keselamatan lebih mudah untuk menjaganya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis korban bersama Esscom dan penduduk daerah Kunak di Perkarangan Masjid Babul Qhair Kampung Kunak Tiga di sini, hari ini.

Mohd Kenali berkata sebab itu sahsiah diri perlu disemat dalam diri agar masyarakat dan pasukan keselamatan saling menyokong menangani jenayah seperti penculikan yang sering berlaku di perairan Zon Selamat Pantai Timur Sabah (Esszone). – Bernama