Bentuk semangat patriotism di kalangan golongan muda

Bentuk semangat patriotism di kalangan golongan muda

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 17 Nov – Jabatan Penerangan melalui Unit Kenegaraan Cawangan Penerangan Daerah Tutong meneruskan inisiatifnya ke arah membentuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda dengan mengadakan Taklimat Kenegaraan bertajuk ‘Menghayati Lagu Kebangsaan dan Bendera Negara’ di Sekolah Menengah Sayyidina ‘Othman, Kampung Bukit Beruang, hari ini.

Lebih 100 orang penuntut Tahun 9 mendengarkan taklimat berkenaan yang disampaikan oleh Ketua Penerangan Cawangan Daerah Tutong, Pengiran Haji Zahari bin Pengiran Adi.

Turut hadir mendengar taklimat tersebut ialah Pengetua Sekolah Menengah Sayyidina ‘Othman, Hajah Junainah binti Haji Abdul Rahman.

Pengiran Haji Zahari dalam taklimatnya menekankan bahawa lagu kebangsaan dan bendera negara mesti dihormati dan dijaga kerana ia merupakan maruah dan martabat negara sebagai lambang kesepakatan dan perpaduan yang mempunyai kemuliaan serta keagungan yang tersendiri.

Pengiran Haji Zahari ketika menyampaikan taklimat kenegaraan di Sekolah Menengah Sayyidina ‘Othman, Kampung Bukit Beruang.
Pengiran Haji Zahari ketika menyampaikan taklimat kenegaraan di Sekolah Menengah Sayyidina ‘Othman, Kampung Bukit Beruang.
Pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Sayyidina ‘Othman menyanyikan lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ dan lagu patriotik ‘Bendera Negara’.
Pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Sayyidina ‘Othman menyanyikan lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ dan lagu patriotik ‘Bendera Negara’.

Semangat cinta kepada raja, agama, bangsa dan negara perlu disemai dari usia muda terutamanya dalam kalangan penuntut-penuntut agar dilatih untuk memiliki semangat patriotik yang mantap dan taat setia yang jitu serta kental yang tidak akan goyah untuk menghadapi apa jua cabaran yang boleh memudaratkan agama, bangsa dan negara.

Beliau juga menyentuh mengenai kesedaran bernegara dengan menghayati dan menjiwai lagu kebangsaan dalam menanai sikap patriotik dalam diri penuntut agar mereka menjadi belia berwawasan, berdisiplin serta memberi sumbangan yang berguna kepada negara.

Selain itu, beliau turut menyentuh mengenai sejarah dan tatacara menaikkan bendera negara dengan betul.

Program yang diungkayahkan ini merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyemai semangat patriotisme para pelajar untuk menghormati serta menjiwai lagu kebangsaan dan bendera negara, yang akan dilaratkan ke seluruh sekolah menengah di negara ini.

Taklimat ini juga diserikan dengan nyanyian lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’, lagu patriotik ‘Bendera Negara’, tayangan klip video Bendera Negara dan sesi Kuiz Kenegaraan.

ARTIKEL YANG SAMA