Bentuk strategi tingkat kemapanan koperasi

Bentuk strategi tingkat kemapanan koperasi

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Mei – Bagi negara-negara yang berpaksikan kepada minyak, sudah setentunya akan mengalami kekurangan pendapatan disebabkan turunnya harga minyak dunia yang drastik.

Negara kita juga menerima kesan dan impak daripada penurunan harga minyak di mana impak yang ketara ialah negara mengalami defisit dan implikasi daripadanya ialah belanjawan negara secara menyeluruh akan berkurangan.

Manakala itu, daripada pihak keseorangan pula akan mengambil sikap berjimat-cermat dalam perbelanjaan iaitu berbelanja dalam konteks yang perlu sahaja dan beringat-ingat.

Bagi Koperasi Berkat Kerjakaras Semua Senang (BKSS) Kementerian Kesihatan Berhad, suka atau tidak suka, harus mengambil tindakan-tindakan dan langkah-langkah yang drastik dalam mengelola serta mentadbir kewangan koperasi supaya koperasi itu tidak akan mengalami defisit.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengerusi Koperasi BKSS, Kementerian Kesihatan Berhad, Haji Mohd Salleh bin Haji Mohiddin berketika berucap pada Perasmian Mesyuarat Agung Koperasi BKSS, Kementerian Kesihatan Berhad, Tahunan ke-19 bagi Tahun Kewangan 2014-2015 yang berlangsung di Dewan Kuliah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Haji Mohd Salleh bersama ahli lembaga pengarah lain pada Mesyuarat Agung Koperasi BKSS, Kementerian Kesihatan Berhad, Tahunan ke-19.
Haji Mohd Salleh bersama ahli lembaga pengarah lain pada Mesyuarat Agung Koperasi BKSS, Kementerian Kesihatan Berhad, Tahunan ke-19.

Antara tindakan-tindakan sepadu ke depan bagi memastikan kemapanan koperasi berkenaan, ulas Haji Mohd Salleh, adalah untuk menyemak semula kakitangan yang sedia ada, mengoptimumkan potensi kakitangan yang ada, membekukan pengambilan pekerja atau kakitangan yang baru, mengelola perjalanan kewangan dengan teliti, bersistem dan berhemah tinggi.

Di samping itu, meneliti semula senarai belian yang lazimnya dilakukan, menyemak secara menyeluruh pengurusan stor dan barang-barang dalam stor, menyediakan peruntukan kewangan di setiap cawangan koperasi serta menjimatkan dalam penggunaan elektrik, air dan pengangkutan.

“Inti pati daripada semua yang saya sebutkan tadi dalam konteks pengurusan ialah you have to be cruel, in order to be kind.”

Tambahnya lagi, semua yang akan dilakukan seperti yang dinyatakan itu adalah tidak lain dan tidak bukan, untuk memastikan supaya koperasi berkenaan akan dapat hidup dan bertahan dengan berlanjutan serta berpanjangan.

Hasil daripada tindakan dan langkah yang diambil itu, akan dinikmati oleh ahli-ahli pemegang saham masa ini dan juga waris-waris mereka akan datang.

“Kita yakin dan percaya yang kita harus menikmati dan menerima dividen setiap tahun kewangan.”

Antara ahli koperasi yang menghadiri mesyuarat agung berkenaan.
Antara ahli koperasi yang menghadiri mesyuarat agung berkenaan.

Beliau mendedahkan bahawa koperasi itu pada tahun 2014-2015, masih boleh lagi menerima dividen di mana dividen yang diterima adalah lebih baik jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya.

Dalam ucapannya lagi, Haji Mohd Salleh, menasihatkan para pemegang saham untuk tidak bersikap leka dan beranggapan bahawa perniagaan mereka yang berasaskan kepada penyajian makan dan minum serta runcit akan selamat dan berterusan.

Sikap begitu, tegasnya lagi, boleh menjahanamkan koperasi mereka, oleh itu, mereka harus melakukan sesuatu yang positif ke arah usaha kepada kemapanan koperasi.

Beliau berkata bahawa dalam berniaga, mereka harus beringat bahawa mereka bukannya satu-satunya kedai makan dan minum yang akan dikunjungi oleh orang ramai.

“Kita sudah ada pesaing kita. Kita akan ada lagi pesaing-pesaing kita di masa akan datang. Oleh itu, kita harus bersedia dan menyediakan strategi-strategi ke arah untuk memastikan supaya koperasi kita akan berjaya dan terus berjaya dalam persaingan ini.”

Dalam persaingan itu, beliau menegaskan bahawa beberapa perkara penting harus diambil maklum iaitu untuk memastikan bahawa makanan dan minuman yang dihidangkan itu adalah halal dan mempunyai kualiti yang tinggi, memastikan ada pilihan-pilihan makanan dan minuman yang dapat memenuhi cita rasa semua peringkat masyarakat, memastikan masakan dan minuman tetap dengan rasanya lazat, bersih dan sihat serta untuk memastikan bahawa harga jualan yang kompetitif dan terjangkau oleh semua.

Mesyuarat itu diteruskan dengan meneliti dan mengesahkan Minit Mesyuarat Agung ke-18, mendengar laporan setiausaha agung koperasi, mendengar laporan penyata kewangan tahunan dan pembahagian keuntungan atau dividen, pembubaran ahli Lembaga Pengarah 2014/2015 dan pelantikan ahli Lembaga Pengarah Sesi 2015/2016, meneliti hal-hal lain serta melantik juruaudit dalam dan luar.

ARTIKEL YANG SAMA