Bentuk tenaga mahir dalam kalangan belia

Bentuk tenaga mahir dalam kalangan belia

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Nov – Pembangunan modal insan dan pembangunan belia merupakan dua elemen utama yang amat penting ke arah mencerminkan status negara yang memiliki penduduk yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi menjelang 2035.

Perkara berkenaan ditegaskan oleh Pemangku Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Dr. Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli ketika berucap pada Majlis Penandatanganan Perjanjian Latihan Perantisan (ATA) bagi Perantisan HNTec dalam Telekomunikasi dan IT, Perantisan HNTec in Juruteknik Automotif dan Perantisan HNTec dalam Penyejukan dan Penghawa Dingin bagi sesi Julai 2016 di Kampus IBTE Sultan Saiful Rizal, Sekolah Penerbangan, Jalan Utama Berakas.

Menurutnya kejayaan sektor industri bukan sahaja bergantung kepada faktor kos tetapi juga kepada kemahiran tenaga kerja negara terutamanya dalam kalangan belia, di mana mereka ini mampu memacu operasi industri dan perniagaan.

Selain itu, cabaran-cabaran daripada proses liberalisasi juga, jelasnya lagi, kini dilihat memberi tekanan kepada banyak negara termasuk negara ini ke arah memperkasa dan meningkatkan kapasiti kemahiran belia dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara.

“Kebanyakan sektor pekerjaan di luar negara telah lama memberi fokus kepada sektor tenaga berkemahiran teknikal dan vokasional dalam pelan pembangunan modal insan. Negara kita juga tidak ketinggalan dalam memantapkan pembangunan modal insan terbaik di bidang teknikal dan vokasional bagi menyokong pembangunan industri dan penguasaan teknologi, seterusnya mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi dan kemahiran dari negara luar,” ujarnya.

Lebih 30 orang pelajar menandatangani perjanjian program berkenaan.
Lebih 30 orang pelajar menandatangani perjanjian program berkenaan.

Beliau seterusnya menambah, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini akan terus dipergiatkan sejajar dengan matlamat kerajaan untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang cemerlang dan setentunya ia memerlukan kerjasama dari semua pihak yang berkepentingan.

“Melalui kerjasama berterusan dan hubungan erat antara IBTE dengan pihak industri dan agensi-agensi kerajaan dalam usahanya menyediakan modal insan yang berkemahiran dapat dipergiatkan demi memacu ekonomi Negara Brunei Darussalam.

“Melalui skim perantisan ini juga boleh membantu golongan muda menjalani peralihan dari sekolah, latihan dan pekerjaan melalui on-the-job training (yang dilaksanakan di syarikat-syarikat) dan off-the job training (yang dilaksanakan IBTE),” tambahnya.

Hadir di majlis penandatangan berkenaan selaku saksi dan wakil ialah tetamu kehormat majlis, Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Buruh, Operasi, Haji Shariful Bahar bin Haji Sawas. Antara syarikat-syarikat yang terlibat dalam majlis penandatangan tersebut dalam Bidang Telekomunikasi dan IT ialah Telekom Brunei Bhd (TelBru) dan Progressif Celluar Sdn Bhd.

Manakala dalam Bidang Juruteknik Automotif ialah Setia Motors Sdn Bhd, Jati Transport, GHK Motors Sdn Bhd, TCY Motors Sdn Bhd, Boustead Sdn Bhd, NBT Sdn Bhd, Grand Motors, Hock Siong Hin, Premier Motors, Boustead & Bengkel Kereta Berakas (BKB).

Sementara dalam bidang Peti Sejuk & Penghawa dingin ialah Borneo Air Conditioning & Engineering Sdn Bhd, Q-Carrier (B) Sdn Bhd, Little Bean Company & Capital Air Conditioning & Engineering Co Sdn Bhd.

Seramai 16 pelajar terpilih mengikuti Program Sijil Pendidikan Teknikal Tertinggi Kebangsaan (HNTec) Perantisan dalam Telekomunikasi dan IT, manakala 20 pelajar mengikuti NTec Perantisan dalam Juruteknik Automotif dan seramai lapan pelajar sedang mengikuti Program NTec Perantisan dalam Penyejukan & Penghawa dingin.

Pihak IBTE dalam pada itu sentiasa menyambut baik kerjasama yang diberikan oleh pihak-pihak industri dalam sama-sama menyokong dan memberi pendedahan yang sewajarnya bukan sahaja kepada pelajar-pelajar malahan kepada tenaga-tenaga pengajar IBTE dalam membentuk generasi yang berwawasan, tambah Dr. Haji Mohd Zamri lagi.

Peluang dan pendedahan seumpamanya ini diharap akan dapat menyampaikan pembelajaran kepada pelajar-pelajar mengikut kehendak industri dan arus perubahan global, di samping dapat membantu meningkatkan lagi mutu pengajaran dan pembelajaran di IBTE.

ARTIKEL YANG SAMA