Benzema belum cukup syarat kembali sertai Les Blues

Benzema belum cukup syarat kembali sertai Les Blues

PARIS, 15 Mac (AFP) – Perdana Menteri Perancis, Manuel Valls hari ini menegaskan syarat untuk Karim Benzema kembali ke pasukan Perancis ‘masih belum dipenuhi’ ketika pemain itu masih melalui proses siasatan.

“Saya rasa syarat berkenaan masih belum dipenuhi untuk Karim Benzema kembali ke pasukan Perancis. Dia masih dalam siasatan,” kata Valls kepada televisyen Perancis, RMC.

“Pada masa yang sama, ia adalah keputusan Persekutuan Bola Sepak Perancis dan juga jurulatih.”

Harapan penyerang Real Madrid, Benzema untuk bermain pada Euro 2016 menerima suntikan sokongan selepas penggantungan dikenakan terhadapnya membabitkan ugutan pita seks ditarik balik minggu lalu.

Benzema (kiri) masih menjalani siasatan dan belum memenuhi syarat untuk kembali menyarung jersi Les Blues. – Reuters
Benzema (kiri) masih menjalani siasatan dan belum memenuhi syarat untuk kembali menyarung jersi Les Blues. – Reuters

Jurulatih Perancis, Didier Deschamps menyatakan dengan jelas keinginannya untuk melihat Benzema kembali ke pasukan kebangsaan, selepas penyerang itu digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) pada Disember.

“Berdasarkan perancangan sukan, saya mahu memiliki pemain terbaik. Anda bukanlah penyerang di Real Madrid selama lima tahun bersama (Jose) Mourinho, (Carlo) Ancelotti, (Rafael) Benitez dan (Zinedine) Zidane jika tiada apa-apa.

Semua negara cemburu kepada kami,” kata Deschamps kepada akhbar harian Perancis, L’Equipe baru-baru ini.