Benzema bepeluang wakili Les Blues

Benzema bepeluang wakili Les Blues

PARIS, 19 Feb (AFP) – Larangan perundangan ke atas penyerang Perancis dan Real Madrid, Karim Benzema mengenai dakwaan penglibatannya dalam kes pita seks telah ditarik balik, sekali gus membolehkan beliau untuk menghubungi rakan sepasukan antarabangsa, Mathieu Valbuena, kata sumber hakim semalam.

Majistret penyiasatan dalam kes itu menyatakan paksaan perundangan itu boleh ditarik, tetapi pendakwa dengan segera merayu ke atas keputusan itu, dengan kes akan didengarkan semula di sebuah mahkamah di Versailles, di luar Paris pada 4 Mac.

Jika keputusan hakim untuk menarik balik larangan dipertahankan, ia mungkin membuka jalan bagi Benzema untuk kembali kepada pasukan kebangsaan tepat pada masa bagi Euro 2016, di mana Perancis menjadi tuan rumah.

Bagaimanapun, sumber rapat kepada badan bola sepak Perancis berkata penarikan balik larangan itu mungkin tidak mengubah kedudukan Persekutuan Bola Sepak Perancis melainkan keputusan itu dikekalkan atas rayuan.

Valbuena (kiri) dan Benzema mendengar Lagu Kebangsaan Perancis dimainkan di Stadium Mane Garrincha pada Piala Dunia Brazil dalam gambar fail 30 Jun 2014. – Reuters
Valbuena (kiri) dan Benzema mendengar Lagu Kebangsaan Perancis dimainkan di Stadium Mane Garrincha pada Piala Dunia Brazil dalam gambar fail 30 Jun 2014. – Reuters

Sepak mula perlawanan Perancis menentang Romania pada 10 Jun. Jurulatih Perancis, Didier Deschamps menggantung Benzema dari pasukan kebangsaan selepas dia disiasat secara rasmi pada November kerana dakwaan pakatan dalam percubaan ugutan menyasarkan Valbuena.

Benzema, 28, terus beraksi bagi Real Madrid dan bermula menentang Roma dalam kejayaan pasukan gergasi Sepanyol 2-0 pada perlawanan pertama kelompok 16 pasukan terakhir pada Rabu lalu.

Dia telah menafikan salah laku tetapi akan menghadapi hukuman penjara lima tahun jika didapati bersalah. Benzema dikatakan mendekati pemain utama Lyon, Valbuena mengenai pita rakaman di kem latihan pasukan kebangsaan Oktober lalu.

Valbuena berkata imej-imej lucah ada dalam telefon bimbit yang dicuri. Tiga lelaki ditangkap dan ditahan kerana meminta Valbuena membayar wang tunai jika mahu imej itu dimusnahkan, tetapi mereka dibebaskan minggu lalu.

ARTIKEL YANG SAMA