Benzema dikritik dakwa Deschamps perkauman

Benzema dikritik dakwa Deschamps perkauman

PARIS, 3 Mei – Karim Benzema menerima pelbagai kritikan sehari selepas dia mendakwa jurulatih Perancis, Didier Deschamps ‘tunduk kepada tekanan sebahagian mereka yang bersifat perkauman di Perancis’ apabila tidak menyenaraikannya dalam skuad ke Euro 2016.

Ahli politik dan ikon sukan mengkritik penyerang Real Madrid itu dengan Perdana Menteri Perancis, Manuel Valls mengakui terkejut dengan kenyataan yang dibuat Benzema menerusi laporan media Sepanyol. Benzema, 28, sebelum ini didakwa terbabit dalam memeras ugut rakan sepasukan Mathieu Valbuena berkaitan pita rakaman seks.

Difahamkan, keputusan dibuat adalah disebabkan skandal itu berbanding tanggapannya mengenai dirinya yang berketurunan Algeria menjelang sai-ngan yang bakal bermula 10 Jun ini di laman sendiri.

“Dalam sukan yang menakjubkan dan popular ini, kamu perlu ada komitmen, kerjasama sepasukan dan perasaan bangga menyarung jersi berwarna biru.

“Kritikan dan skandal tiada tempat dalam pasukan, ia tidak membawa sebarang makna. Semua orang perlu berada di belakang Les Bleus,” kata Valls dalam laporan yang disiarkan akhbar Perancis.

Menteri Buruh, Myriam El Khomr yang berketurunan Maghribi, berkata unsur perkauman masih wujud di Perancis tetapi berkata Benzema sama sekali silap apabila mengambil jalan mudah dengan membuat dakwaan berkenaan.

“Perkauman adalah alasan yang bagus. Namun, apabila kamu menyarung jersi Perancis, ada tugasan yang kamu perlu laksanakan dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Debat mengenai perkauman mula tercetus apabila legenda Perancis, Eric Cantona mempersoalkan motif tidak menyenaraikan Benzema dan seorang lagi pemain, Hatem Ben Arfa yang bapanya berketurunan Tunisia.

Bagaimanapun, bekas pemain antarabangsa Perancis, Lilian Thuram yang memenangi Piala Dunia 1998 bersama Deschamps, berkata alasan terhadap keputusan tidak menyenaraikan nama Benzema adalah jelas.

“Jika dia tidak dipilih, ia adalah disebabkan skandal Mathieu Valbuena. Perkauman wujud dalam komuniti masyarakat Perancis tetapi dia perlu lebih relevan,” kata Thuram. – AFP