Benzema: Tiada peluang selagi Deschamps berkuasa

PARIS, 13 Nov – Penyerang Real Madrid, Karim Benzema mengakui dia tidak berpeluang untuk beraksi di Piala Dunia Rusia tahun depan, selagi Didier Deschamps kekal sebagai ketua jurulatih Perancis.

“Sudah tentu saya mempercayainya (bermain untuk Perancis sekali lagi), saya masih mempercayainya,” kata Benzema yang kini berusia 29 tahun kepada Canal+.

“Tetapi ia sudah melebihi dua setengah tahun dan anda bukannya bodoh. Selagi Didier Deschamps adalah jurulatih, saya tidak mempunyai peluang untuk kembali ke pasukan Perancis.”

Kali terakhir Benzema, yang sudah meledak 27 gol untuk Perancis, menyarung jersi skuad kebangsaan ialah pada Oktober 2015.

Deschamps (kiri) bercakap sesuatu kepada Benzema ketika dia masih bermain bersama Perancis. Benzema kini sudah dipulaukan oleh Deschamps dan dijangka tidak dipanggil. – AFP

Tetapi kelibatnya jelas tidak dirindui oleh Deschamps yang berjaya memimpin Perancis ke final Euro 2016 dan menempah tempat ke pusingan akhir Piala Dunia 2018 di Rusia.

Kerjaya Benzema bersama skuad kebangsaan menerima tamparan hebat apabila dia terperangkap dalam skandal ‘video seks’ yang menyaksikannya dituduh terbabit dalam cubaan memeras ugut rakan sepasukannya, Mathieu Valbuena.

“Sudah tentu saya mahu bermain di Piala Dunia, saya mahu menang sesuatu untuk negara saya,” kata Benzema.

“Ia jalan yang buntu. Kami bercakap di telefon sebelum Euro tetapi tiada sebarang penjelasan. Selepas itu, dia berpaling daripada saya.” – AFP