Benzoil peroksida dalam tepung gandum selamat

Benzoil peroksida dalam tepung gandum selamat

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Penggunaan bahan benzoil peroksida dalam tepung gandum tidak memudaratkan kesihatan pengguna, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya badan penilai antarabangsa, Suruhanjaya Codex Alimentarius (CAC), mengesahkan bahawa bahan itu selamat digunakan.

CAC ditubuhkan di bawah jawatankuasa bersama terdiri daripada Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Jawatankuasa Pakar Mengenai Aditif Makanan (JECFA).

Menurutnya, CAC membenarkan penggunaan benzoil peroksida dalam tepung gandum tidak melebihi 75 miligram (mg)/kilogram (kg) dengan mengambil kira pengambilan makanan berasaskan tepung gandum secara kerap.

Di samping itu, penambahan benzoil peroksida dalam tepung gandum juga dibenarkan di Singapura, Jepun dan Amerika Syarikat manakala Australia New Zealand Food Standards Code membenarkan ia digunakan dalam semua makanan,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengenai kesan buruk bahan tersebut kepada kesihatan pengguna sehingga menyebabkan barah.

Benzoil peroksida merupakan sejenis bahan pengawet yang dibenarkan dalam pelbagai makanan di bawah Peraturan-peraturan Makanan 1985 (PPM 1985) dan dalam tepung gandum jumlahnya tidak melebihi 50mg/kg. – Bernama