BEP akan diadakan bulan ini

BEP akan diadakan bulan ini

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mei – Dalam usaha untuk mengumpulkan maklumat yang komprehensif dan terkini berkaitan dengan pertumbuhan, sumbangan, komposisi dan taburan kegiatan ekonomi yang dijalankan oleh syarikat perusahaan atau perniagaan di sektor swasta, Banci Ekonomi Perusahaan/Perniagaan (BEP) tahun ini akan diadakan pada bulan ini.

Pemangku Ketua Pengarah Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Haji Abdul Amin bin Haji Hashim semasa sidang akhbar di lobi JPKE, Jalan Ong Sum Ping, pagi tadi menjelaskan, BEP 2016 meliputi semua syarikat perusahaan atau perniagaan yang aktif beroperasi di negara ini dan akan mengumpulkan maklumat mengenai aktiviti ekonomi, profil syarikat, pendapatan dan perbelanjaan perusahaan serta keterangan pekerjaan bagi tahun rujukan 2015.

Maklumat yang diberikan oleh syarikat-syarikat perusahaan atau perniagaan itu akan dirahsiakan mengikut Akta Perangkaan, Bab 81 dari Undang-undang Negara Brunei Darussalam dan akan digunakan untuk tujuan perangkaan sahaja.

“Data yang dikumpul akan digunakan untuk penyusunan perangkaan akaun negara, terutama bagi pengiraan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi mengetahui sumbangan terkini sektor swasta kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Hasil BEP 2016 akan dapat membantu kerajaan dalam merancang pembangunan dan penyediaan dasar,” jelas Haji Abdul Amin lagi.

Haji Abdul Amin semasa sidang media.
Haji Abdul Amin semasa sidang media.
Antara yang hadir semasa sidang media kelmarin.
Antara yang hadir semasa sidang media kelmarin.

Selain itu, pihak sektor swasta juga boleh menggunakannya dalam merancang dan mengembangkan aktiviti dan strategi perniagaan masing-masing.

Menurut beliau, borang kaji selidik BEP 2016 akan diedarkan kepada syarikat perusahaan dan perniagaan yang aktif menjalankan perniagaan melalui pos, e-mel atau dihantar oleh para pegawai banci yang dilantik bermula bulan ini.

Borang kaji selidik dan panduan BEP boleh juga dimuat turun dari laman web JPKE dan tarikh tutup untuk mengembalikan yang telah diisikan dengan lengkap ialah pada 30 Jun ini sama ada melalui pos, faks, e-mel atau menghantar terus ke JPKE.

Menurut beliau, BEP 2016 merupakan satu aktiviti berjadual, di mana ia diadakan setiap lima tahun sekali dengan BEP sebelum ini telah diadakan pada 2011.

“Memanglah, jika mengikut keadaan ekonomi pada masa ini, dengan penurunan harga minyak akan memberi impak terutama sekali kepada aktiviti-aktiviti sektor minyak dan gas,” jelasnya lagi.

Haji Abdul Amin melahirkan harapan bagi sokongan dan kerjasama semua syarikat di negara ini dalam memberikan maklumat yang dikehendaki untuk menjayakan BEP 2016 agar dapat mencapai matlamatnya.

Selain itu juga, JPKE akan sentiasa memantau perlaksanaan terutama sekali dalam membantu syarikat-syarikat mengisi borang dan memberi jawapan pada soalan-soalan yang telah diajukan.

Pihak JPKE juga akan memberikan panduan kepada para peniaga dan syarikat-syarikat perusahaan jika terdapat sebarang kekeliruan dalam menjawab soalan-soalan.

Turut hadir semasa sidang media itu ialah Pengarah Perangkaan, Hajah Mariah binti Haji Yahya, para pegawai dan ahli kakitangan yang lain.

Menurut Hajah Mariah, banci ini akan dikendalikan melalui pos dan pihak JPKE juga menetapkan beberapa orang pegawai banci dan setakat ini, seramai 10 orang pegawai telah dilantik untuk mengendalikan BEP 2016.