Berahino kekal di WBA

Berahino kekal di WBA

LONDON, 25 Ogos (Reuters) – West Bromwich Albion (WBA) menolak permohonan penyerangnya, Saido Berahino untuk berpindah ke Tottenham Hotspur, menurut kenyataan dalam laman web kelab itu.

Kelab yang diberi jolokan The Baggies menolak tawaran daripada Tottenham, minggu lalu dengan pengurus, Tony Pulis menggugurkan penyerang berusia 22 tahun itu ketika menentang Chelsea.

West Brom tewas perlawanan itu 3-2 namun menurut Pulis, pemain itu tidak fokus sepenuhnya untuk bermain.

Kelab itu yang turut menandatangani kontrak bersama penyerang, Rickie Lambert dan Salomon Rondon ketika ini menghuni tangga tercorot liga selepas hanya mengumpul satu mata daripada tiga perlawanan.

“West Bromwich Albion sudah menerima permohonan perpindahan bertulis daripada Saido Berahino.

Permohonan itu sudah ditolak dan posisi kelab kekal tidak berubah daripada yang digariskan dalam kenyataan Pengerusi, Jeremy Peace pada 18 Ogos lalu,” kata kenyataan daripada kelab itu di laman web (www.wba.co.uk).

Peace juga mengeluarkan kenyataan tambahan dengan memberi jaminan kepada peminat kelab itu yang Berahino tidak akan dijual.

Berahino yang mempunyai kontrak bersama WBA sehingga musim panas tahun 2017 sudah menjaringkan 19 gol dalam 72 penampilan Liga Perdana Inggeris bersama kelab itu.