Beramal bersama Suzuki

Beramal bersama Suzuki

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jun – Bagi memberikan peluang kepada pelanggan untuk beramal sambil membeli, pengedar kenderaan jenama Suzuki di Negara Brunei Darussalam, Boustead Sdn Bhd mengadakan Projek Istimewa Bulan Ramadan dan Bulan Syawal yang bakal menjelang iaitu Sumbangan Aidilfitri Bersama Suzuki Untuk Anak-anak Yatim Brunei, bermula 1 Jun hingga 31 Julai.

Juga sebagai sebahagian daripada tanggungjawab korporat sosialnya untuk membantu mereka yang memerlukan, projek dan promosi istimewa yang julung-julung kalinya diadakan oleh syarikat penjual kereta ini merupakan satu kelainan bagi pihak Boustead dan merupakan satu usaha bersama pelanggan mereka untuk beramal sambil memiliki sebuah kenderaan Suzuki.

Semasa sidang akhbar mengenai projek tersebut, di Dewan Pameran Suzuki, Beribi, hari ini, Eksekutif Pembangunan Perniagaan Kanan Boustead Sdn Bhd, Haji Ahmad bin Haji Abdul Razak menjelaskan, projek atau promosi istimewa itu memberikan peluang kepada pelanggan Suzuki yang ingin membeli mana-mana lima jenis model Suzuki sebagai kenderaan idaman mereka sambil beramal di mana $30 akan didermakan kepada Tabung Bantuan Anak-anak Yatim Brunei Darussalam.

Turut hadir semasa sidang akhbar ialah Pengurus Cawangan Suzuki, James Wong, Pengurus Lepas Jualan Suzuki, Eric Law dan kakitangan Boustead Sdn Bhd.

Promosi istimewa itu hanya untuk pembelian lima jenis model kenderaan Suzuki iaitu Suzuki Celerio, Suzuki Swift, Suzuki Swift Sport, Suzuki Ertiga dan Suzuki Vitara 1.6 (baru), tambah Haji Ahmad lagi.

Pegawai dan kakitangan Boustead Sdn Bhd bergambar ramai selepas sidang akhbar Projek Amal Sumbangan Aidilfitri Bersama Suzuki Untuk Anak-anak Yatim Brunei.
Pegawai dan kakitangan Boustead Sdn Bhd bergambar ramai selepas sidang akhbar Projek Amal Sumbangan Aidilfitri Bersama Suzuki Untuk Anak-anak Yatim Brunei.
Haji Ahmad (tengah), James Wong (kiri) dan Eric Law (kanan) ketika memberikan penerangan mengenai Projek Amal Sumbangan Aidilfitri Bersama Suzuki Untuk Anak-anak Yatim Brunei, kelmarin.
Haji Ahmad (tengah), James Wong (kiri) dan Eric Law (kanan) ketika memberikan penerangan mengenai Projek Amal Sumbangan Aidilfitri Bersama Suzuki Untuk Anak-anak Yatim Brunei, kelmarin.

Beliau juga berkata, setiap pelanggan yang memiliki kenderaan berkenaan nanti, akan berhak menerima sejumlah $30 yang akan disumbangkan kepada Tabung Bantuan Anak-anak Yatim Brunei Darussalam di atas nama pemilik kenderaan itu sendiri.

“Bagaimanapun, pihak Boustead juga tiada halangan sekiranya ada pelanggan atau pemilik kenderaan berhasrat untuk menambah jumlah sumbangan mereka.

“Mudah-mudahan Allah S.W.T akan memberikan ganjaran pahala yang berlipat ganda di atas sumbangan amal itu nanti. Amin Ya Rabb.”

Di samping itu, pelanggan juga berpeluang untuk menerima sekeping baucar Sungkai bernilai $60 mengikut syarat dan terma promosi, yang mana, baucar itu adalah bagi setiap pemilik yang membeli mana-mana lima jenis model Suzuki semasa promosi berkenaan.

Pada masa yang sama, pihak pengurusan Boustead juga mengadakan beberapa promosi menerusi laman media sosial iaitu dengan menggunakan nama Facebook, Suzuki Brunei FM, di mana mereka akan memuatkan beberapa keterangan promosi.

“Setiap pengguna Facebook yang menandakan atau klik ‘Like’ maka pihak pengurusan Boustead Sdn Bhd akan menyediakan $1 setiap ‘Like’ dalam laman itu,” jelas Haji Ahmad.

Beliau berkata pihak Boustead mempunyai sasaran 1,000 Like, membawa kepada jumlah $1,000 yang akan disumbangkan oleh Boustead dan akan dikumpulkan bersama sumbangan pemilik kenderaan Suzuki bagi projek amal itu di mana ia akan disumbangkan kepada Tabung Bantuan Anak-anak Yatim Brunei Darussalam.

Ia merupakan tambahan sumbangan bagi setiap pelanggan atau pemilik mana-mana kenderaan berjenama Suzuki itu.

Pihak Boustead Sdn Bhd telah merancang untuk mengagihkan keseluruhan wang yang dikumpulkan itu melalui pihak-pihak yang berkenaan kepada Tabung Bantuan Anak-anak Yatim Brunei Darussalam di mana wang itu akan diserahkan pada majlis khusus Boustead Sdn Bhd pada masa dan tarikh yang akan diumumkan kemudian.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai promosi amal itu, bolehlah menghubungi Unit Pemasaran Boustead Sdn Bhd, Awang Pierce Lim di talian 2431222 sambungan 505.

ARTIKEL YANG SAMA