Berangkat hadiri APEC di Manila

Berangkat hadiri APEC di Manila

Gambar oleh Infofoto & Muiz Matdani

 

MANILA, Republik Filipina, 17 Nov – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, selamat berangkat tiba di Manila, Republik Filipina, malam ini, bagi menghadiri Mesyuarat Ketua-ketua Ekonomi APEC (AELM) 2015 yang akan berlangsung selama dua hari, bermula esok (18 November 2015).

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila dijunjung oleh Setiausaha Jabatan Pengangkutan dan Komunikasi, Republik Filipina, Joseph Emilio Aguilnaldo Abaya, serta pegawai-pegawai kanan kerajaan Republik Filipina.

Turut hadir menjunjung keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Behormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Filipina, Puan Yang Terutama Datin Paduka Malai Hajah Halimah binti Malai Haji Yussof.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan berangkat ke Hotel Makati Shangri-La, tempat persemayaman Baginda sepanjang keberangkatan ke AELM 2015, di mana Baginda dijunjung oleh Pengurus Am Hotel Makati Shangri-La, Alain Borgers.

Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Behormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim dan Menteri Tenaga (Energy) dan Perindustrian di JPM, Yang Behormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar.

Baginda Sultan ketika berangkat tiba di Hotel Makati Shangri-La. – Infofoto
Baginda Sultan ketika berangkat tiba di Hotel Makati Shangri-La. – Infofoto
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila dijunjung oleh Joseph Emilio Aguilnaldo Abaya serta para pegawai kanan kerajaan Republik Filipina. – Infofoto
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila dijunjung oleh Joseph Emilio Aguilnaldo Abaya serta para pegawai kanan kerajaan Republik Filipina. – Infofoto
Keberangkatan tiba Baginda Sultan di Lapangan Terbang Manila dijunjung oleh Yang Berhormat Pehin Lim Jock Seng. – Infofoto
Keberangkatan tiba Baginda Sultan di Lapangan Terbang Manila dijunjung oleh Yang Berhormat Pehin Lim Jock Seng. – Infofoto
Keberangkatan tiba Baginda Sultan dijunjung oleh kakitangan Kedutaan Brunei Darussalam di Republik Filipina. - Infofoto
Keberangkatan tiba Baginda Sultan dijunjung oleh kakitangan Kedutaan Brunei Darussalam di Republik Filipina. – Infofoto

Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) merupakan forum perdana bagi memudah cara pertumbuhan ekonomi, kerjasama, perdagangan dan pelaburan di rantau Asia Pasifik.

Ia ditubuhkan dalam tahun 1989 untuk meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran di rantau ini serta bagi mengukuhkan komuniti Asia Pasifik.

Sejak penubuhannya, APEC telah berusaha untuk mengurangkan kadar tarif dan halangan-halangan perdagangan yang lain di seluruh rantau Asia Pasifik, mewujudkan ekonomi-ekonomi domestik yang efisien dan meningkatkan eksport dengan pesat.

AELM tahun ini membawa tema ‘Membangunkan Ekonomi Inklusif, Membangunkan Sebuah Dunia yang Lebih Baik’.

Sebelum berlepas meninggalkan Negara Brunei Darussalam, petang tadi, doa selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned di Istana Nurul Iman.

pg03_151118_a

pg03_151118_b

Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat ke Filipina bagi menghadiri AELM 2015.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat ke Filipina bagi menghadiri AELM 2015.

pg03_151118_d

Sementara itu, berangkat sama di Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Rimba bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Baginda Sultan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah serta ahli kerabat diraja yang lain.

Berangkat dan hadir sama ialah Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria, Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara, Menteri-menteri Kabinet, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Diraja, timbalan-timbalan menteri, pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, pesuruhjaya Polis Diraja Brunei dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Filipina ke Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA