Berangkat hadiri Majlis Pembukaan

Berangkat hadiri Majlis Pembukaan

Gambar oleh Infofoto

 

VIENTIANE, Lao, 6 Sept – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat menghadiri Majlis Pembukaan Sidang-sidang Kemuncak ASEAN ke-28 dan ke-29 serta Pelancaran The Visit ASEAN@50: Golden Celebration; Sesi Plenari Sidang Kemuncak ASEAN Ke-28; Pelancaran The Master Plan on ASEAN Connectivity 2025 and The Initiative for ASEAN Integration Work Plan III; dan Majlis Penandatanganan Deklarasi ASEAN mengenai One ASEAN, One Response: ASEAN Responding to Disasters as One in the Region and Outside the Region, yang berlangsung di Pusat Persidangan Kebangsaan, Vientiane.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula berkenan berangkat menghadiri Majlis Pembukaan Sidang-sidang Kemuncak ASEAN ke-28 dan ke-29 dan Pelancaran The Visit ASEAN@50: Golden Celebration.

Sejurus keberangkatan tiba di Pusat Persidangan Kebangsaan, Baginda dijunjung oleh Pengarah Am Protokol, Republik Demokratik Rakyat Lao, Seng Soukhathivong dan seterusnya dijunjung berangkat ke Lobi Utama Pusat Persidangan Kebangsaan.

Baginda kemudian dialu-alukan oleh Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Lao dan Pengerusi ASEAN, Thongloun Sisoulith dan isteri, Naly Sisoulith.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia dialu-alukan oleh Perdana Menteri Lao dan isteri.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia dialu-alukan oleh Perdana Menteri Lao dan isteri.

pg03_160907_LOGO Asean Summit

Baginda Sultan berkenan berangkat menyertai ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN yang lain bagi sesi bergambar ramai.
Baginda Sultan berkenan berangkat menyertai ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN yang lain bagi sesi bergambar ramai.

Majlis pembukaan tersebut dimulakan dengan persembahan lagu tema ASEAN, diikuti dengan persembahan kebudayaan, ucapan alu-aluan daripada Perdana Menteri Lao selaku Pengerusi ASEAN serta ucapan pembukaan daripada Presiden Republik Demokratik Rakyat Lao, Bounnhang Vorachith.

Baginda kemudiannya menyaksikan tayangan video dan seterusnya merasmikan Pelancaran The Visit ASEAN@50: Golden Celebration bersama Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Lao, serta para pemimpin ASEAN lainnya.

Pada tahun 2017, ASEAN akan mencapai ulang tahun ke-50 sejak penubuhannya pada 8 Ogos 1967. Bagi meraikan pencapaian ini, sebanyak 10 buah organisasi pelancongan negara ASEAN telah sama-sama membangunkan satu program pelancongan bertemakan ‘Visit ASEAN@50: Golden Celebration’ dengan objektif untuk memperingati ulang tahun ke-50 ASEAN dan mendukung ASEAN sebagai satu destinasi pelancongan.

Persembahan kebudayaan semasa Majlis Perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-28 dan ke 29 di Pusat Persidangan Kebangsaan, Viantiane, kelmarin.
Persembahan kebudayaan semasa Majlis Perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-28 dan ke 29 di Pusat Persidangan Kebangsaan, Viantiane, kelmarin.

Selepas majlis pembukaan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menyertai ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN yang lain bagi sesi bergambar ramai.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berangkat menghadiri Sesi Plenari Sidang Kemuncak ASEAN Ke-28 yang dihadiri oleh ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN.

Selepas Sesi Plenari Sidang Kemuncak ASEAN Ke-28, Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berangkat ke Pelancaran The Master Plan on ASEAN Connectivity 2025 and The Initiative for ASEAN Integration Work Plan III dan Majlis Penandatanganan Deklarasi ASEAN – One ASEAN, One Response: ASEAN Responding to Disasters as One in the Region and Outside the Region.

Baginda seterusnya berkenan menandatangani deklarasi tersebut yang juga ditandatangani oleh Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Lao serta ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN yang lainnya.

ARTIKEL YANG SAMA