Berangkat ke Istiadat Pertabalan

Berangkat ke Istiadat Pertabalan

KUALA KANGSAR, 6 Mei – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri pagi ini berkenan berangkat selaku wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi menghadiri Majlis Istiadat Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Sultan Perak ke-35 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan, Malaysia.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia di Istana Iskandariah dijunjung oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (Bersara) Dato’ Seri Diraja Tan Sri Mohd Zahidi bin Haji Zainuddin dan Orang Kaya Temenggong Paduka Raja Dato’ Seri Wan Mohd Fathir @ Wan Fadzir bin Wan Hussain, yang merupakan Orang Besar Negeri Perak Darul Ridzuan.

Sebelum beredar ke Bilik Persemayaman, Duli Yang Teramat Mulia dijunjung menandatangani Buku Lembaran Kenangan. Di Bilik Persemayaman, Duli Yang Teramat Mulia dialu-alukan oleh Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Dari Bilik Persemayaman, Duli Yang Teramat Mulia dijunjung berangkat masuk ke Balairung Seri bagi menyertai Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Tuanku Bainun; Yang Teramat Mulia Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Negeri Kedah Darul Aman dan Yang Teramat Mulia Puan Temenggong Kedah; Pemangku Sultan Pahang; Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri-Negeri dan isteri; Perdana Menteri Malaysia dan isteri; Wakil Raja-Raja Melayu dan Raja-Raja Permaisuri; serta para tetamu khas diraja.

Ini diikuti dengan keberangkatan masuk Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Zara Salim, Raja Permaisuri Perak bersama Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak; serta Duli Yang Amat Mulia Raja DiHilir Perak dan Yang Amat Mulia Raja Puan Muda Perak.

Duli Yang Teramat Mulia berkenan berangkat bersama-sama Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Tuanku Zara Salim ke Majlis Santapan Tengahari sempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak, di Kuala Kangsar, Perak, kelmarin. - Infofoto
Duli Yang Teramat Mulia berkenan berangkat bersama-sama Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Tuanku Zara Salim ke Majlis Santapan Tengahari sempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak, di Kuala Kangsar, Perak, kelmarin. – Infofoto
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan berangkat bersama Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Tuanku Zara Salim serta tetamu khas diraja yang lain ke Majlis Santapan Tengahari sempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak. - Gambar-gambar oleh Infofoto
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan berangkat bersama Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Tuanku Zara Salim serta tetamu khas diraja yang lain ke Majlis Santapan Tengahari sempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak. – Gambar-gambar oleh Infofoto

pg03_150507_b

Duli Yang Teramat Mulia bersama Raja Permaisuri Tuanku Bainun.
Duli Yang Teramat Mulia bersama Raja Permaisuri Tuanku Bainun.

pg03_150507_c

Keberangkatan masuk diiringi dengan paluan Nobat ‘Lagu Raja Berangkat’.

Majlis Istiadat Pertabalan dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Ini diikuti dengan Istiadat Membawa Masuk Naskhah Al-Quran, di mana Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak kemudiannya berkenan menerima senaskhah Al-Quran yang disembahkan oleh Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan.

Pemasyhuran Pertabalan Sultan Perak kemudian dibacakan oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja dan disusuli dengan tembakan meriam 21 das.

Setelah itu, majlis diteruskan dengan Istiadat Membawa Masuk ‘Pedang Cura Si Manja Kini’. Sejurus itu, sembah ‘Daulat’ dilaungkan sebanyak tiga kali dan diikuti dengan paluan Nobat Tabal. Sejurus itu, Toh Seri Nara DiRaja mempersembahkan ‘Mastika Embun’ dan menyunting ‘Chap Halilintar’ Kehadapan Majlis Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.

Ini diikuti pula dengan Istiadat Pemasyhuran Penganugerahan Gelaran Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja.

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kemudian menyematkan ‘Bunga Pencawa Pencara’ kepada Raja Permaisuri Perak. Sejurus itu, sembah ‘Daulat’ sebanyak tiga kali dilaungkan dan diikuti dengan paluan Nobat.

Majlis Istiadat Pertabalan diteruskan dengan Persembahan Ucapan Tahniah dan Taat Setia yang dimulakan oleh Raja Muda Perak Darul Ridzuan bagi pihak Raja-Raja dan Orang Besar Perak dan diikuti dengan Menteri Besar Perak bagi mewakili kerajaan dan rakyat.

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kemudian berkenan mengurniakan titah.

Majlis Istiadat Pertabalan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Negeri Perak.

Sultan Perak dan Raja Permaisuri Perak kemudian berkenan berangkat meninggalkan Balairung Seri.

Selesai Majlis Istiadat Pertabalan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan berangkat bersama tetamu-tetamu khas diraja yang lain ke Dewan Santapan bagi Majlis Santapan Tengahari.

Selesai Majlis Santapan Tengahari, Duli Yang Teramat Mulia berkenan berangkat meninggalkan Istana Iskandariah bersama tetamu-tetamu khas diraja yang lain.

Mengiringi keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong; Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Utama Haji Mohd Taha; Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Haji Yahya bin Haji Idris dan Setiausaha Sulit dan Laila Rahsia kepada Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, Dato Paduka Awang Haji Alikhan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof.

ARTIKEL YANG SAMA