Berangkat ke pembukaan rasmi CHOGM 2015

Berangkat ke pembukaan rasmi CHOGM 2015

Gambar Infofoto

 

VALLETTA, Republik Malta, 27 Nov – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, selaku wakil peribadi kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat menghadiri Majlis Pembukaan Rasmi Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2015 yang telah diadakan di Republik Hall, Pusat Persidangan Mediterranean, Valletta, Republik Malta.

Keberangkatan tiba Yang Teramat Mulia di Pusat Persidangan Mediterranean dialu-alukan oleh Perdana Menteri Republik Malta, Tuan Yang Terutama Dr. Joseph Muscat selaku Pengerusi Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2015 dan isteri; Presiden Demokratik Republik Sosialis Sri Lanka, Tuan Yang Terutama Maithripala Sirisena selaku Pengerusi CHOGM 2013, dan isteri; dan Setiausaha Agung Komanwel, Tuan Yang Terutama Kamalesh Sharma dan isteri.

Yang Teramat Mulia kemudiannya berangkat masuk ke Republik Hall di Pusat Persidangan tersebut bagi Majlis Pembukaan Rasmi oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Ratu Elizabeth II, Queen of The United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland.

Majlis Pembukaan Rasmi Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2015 dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Tuan Yang Terutama Dr. Joseph Muscat, selaku Pengerusi CHOGM 2015 yang mengalu-alukan keberangkatan dan kehadiran para Ketua-ketua kerajaan dan wakil ketua-ketua kerajaan Komanwel ke mesyuarat tersebut.

Yang Teramat Mulia berangkat tiba di Pusat Persidangan Mediterranean.
Yang Teramat Mulia berangkat tiba di Pusat Persidangan Mediterranean.

pg03_151128_d

Keberangkatan Yang Teramat Mulia dialu-alukan oleh TYT Dr. Joseph Muscat.
Keberangkatan Yang Teramat Mulia dialu-alukan oleh TYT Dr. Joseph Muscat.
Yang Teramat Mulia berkenan bergambar ramai bersama Baginda Ratu Elizabeth II dan ketua-ketua negara CHOGM.
Yang Teramat Mulia berkenan bergambar ramai bersama Baginda Ratu Elizabeth II dan ketua-ketua negara CHOGM.

Persembahan

Ini diikuti dengan ucapan daripada Tuan Yang Terutama Maithripala Sirisena, selaku Pengerusi CHOGM 2013, ucapan daripada Tuan Yang Terutama Kamalesh Sharma, dan titah Baginda Ratu Elizabeth II. Majlis turut diserikan dengan beberapa persembahan muzikal dan tarian.

Selepas majlis pembukaan rasmi Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) tersebut, Yang Teramat Mulia seterusnya beredar ke La Valetta Hall dan menyertai ketua-ketua kerajaan dan wakil ketua-ketua kerajaan Komanwel yang lain bagi sesi bergambar ramai rasmi bersama Ratu Elizabeth II, selaku Ketua Komanwel.

Mengiringi keberangkatan Yang Teramat Mulia ke majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng dan Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar.

ARTIKEL YANG SAMA