Berangkat ke Pembukaan Rasmi Sukan SEA

Berangkat ke Pembukaan Rasmi Sukan SEA

Gambar oleh Infofoto

 

SINGAPURA, 5 Jun – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha malam ini berkenan berangkat menghadiri Acara Pembukaan Rasmi Sukan SEA ke-28, Singapura 2015 yang berlangsung di Singapore Sports Hub.

Berangkat mengiringi Baginda berdua ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.

Keberangkatan tiba Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri di Singapore Sports Hub dijunjung oleh Menteri Negara di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kebudayaan, Kemasyarakatan dan Belia, Sam Tan Chin Siong.

Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri kemudiannya dijunjung berangkat ke Singapore Suite bagi Majlis Resepsi dan dialu-alukan oleh Presiden Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dr Tony Tan Keng Yam dan isteri.

Selepas Majlis Resepsi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berdua kemudiannya dijunjung beredar ke Grand Stand bagi menyaksikan Acara Pembukaan Rasmi Sukan SEA Ke-28, Singapura 2015.

Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri semasa dijunjung berangkat ke Majlis Resepsi dan dialu-alukan oleh Presiden Dr Tony Tan. - Infofoto
Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri semasa dijunjung berangkat ke Majlis Resepsi dan dialu-alukan oleh Presiden Dr Tony Tan. – Infofoto

pg03_150606_a

pg03_150606_b

Kontinjen negara berarak megah memasuki Singapore Sport Hub bagi Upacara Pembukaan Rasmi Sukan SEA ke-28- Infofoto
Kontinjen negara berarak megah memasuki Singapore Sport Hub bagi Upacara Pembukaan Rasmi Sukan SEA ke-28- Infofoto

Turut berangkat bagi menyaksikan Acara Pembukaan Rasmi Sukan SEA ke-28, Singapura 2015 ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

Sukan SEA Ke-28, Singapura 2015 yang bermula dari 5 hingga 16 Jun 2015 menyaksikan penglibatan sebanyak 11 buah negara Asia Tenggara dalam 36 acara sukan.

Negara Brunei Darussalam telah menghantar seramai 73 orang atlet bagi menyertai 13 acara sukan iaitu bola sepak, olahraga, billiard dan snuker, ekuestrian, lawan pedang, golf, bola jaring, pencak silat, petanque, sukan layar, sepak takraw, tae kwan do dan wushu.

Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng.

ARTIKEL YANG SAMA