Berangkat ke Sambutan Ulang Tahun ABDB

Berangkat ke Sambutan Ulang Tahun ABDB

Oleh Imelda Farrah Zohre HA & Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Muiz Matdani & Sim Y.H

 

TUTONG, 31 Mei – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), berkenan berangkat ke Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB ke-54 yang berlangsung di Institut Latihan ABDB, Penanjong Garisson, di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Padang Kawad, Institut Latihan ABDB, dijunjung oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat dan Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.

Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Jeneral ABDB.

Sejurus keberangkatan tiba, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima Tabik Hormat Diraja dan berangkat memeriksa pasukan-pasukan perbarisan seramai 1,154 anggota ABDB terdiri daripada Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Institut Latihan (IL) ABDB, Rejimen Pasukan Khas (RPK) ABDB dan Pasukan Askar Wanita, yang diketuai oleh Leftenan Kolonel (L) Pg Mohamad bin Pg Haji Damit.

pg03_150601_b

pg03_150601_a

pg03_150601_c

Ini disusuli dengan perbarisan lalu oleh pasukan-pasukan perbarisan yang membawa Panji-Panji Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Panji-Panji Pasukan ABDB dan seterusnya laungan tiga kali ‘Daulat Kebawah Duli Tuan Patik.’

Bagi memberkati upacara, doa selamat dibacakan oleh Penolong Ketua Jabatan Agama ABDB, Kapten Ariffin bin Amit @ Hamid.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut disembahkan dengan Tabik Hormat Diraja yang diikuti dengan terbang lalu pesawat-pesawat TUDB.

ARTIKEL YANG SAMA