Berangkat lawat sekolah, Wira Bina

Berangkat lawat sekolah, Wira Bina

Oleh Normazlina M.D

Gambar oleh Infofoto

 

TUTONG, 15 Mei – Sejurus selesai majlis penganugerahan anak-anak kunci rumah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan dijunjung berangkat melawat ke Sekolah Menengah Tanjong Maya, Tutong.

Sekolah Menengah Tanjong Maya mempunyai 718 orang penuntut dan mula menggunakan sesi persekolahan pada Julai 2009. Insititusi pendidikan terus menjadi tumpuan KDYMM di mana Baginda seterusnya berkenan berangkat melawat Sekolah Rendah Abdul Rashid Tanjong Maya, Tutong II.

Sekolah Rendah Abdul Rashid Tanjong Maya mempunyai 69 orang penuntut dan 14 orang tenaga pengajar. Sekolah rendah ini menempatkan penuntut dari Pra hingga Tahun 6. Lawatan KDYMM ke institusi pendidikan ini membuktikan keprihatinan Baginda terhadap perkembangan dan kemajuan pendidikan di negara ini.

KDYMM kemudiannya dijunjung berangkat melawat Syarikat Wira Bina, produk Majlis Perundingan Mukim Tanjong Maya, Tutong. Produk Minyak Kelapa Dara (VCO) diperkenalkan kepada penduduk Tanjong Maya sebagai inisiatif kerajaan dalam Projek ‘Satu Kampung Satu Produk” bagi Mukim Tanjong Maya pada tahun 2009.

Rumah Ketua Kampung Lubok Pulau, Haji Abdul Rahman bin Samat menjadi destinasi lawatan Baginda seterusnya.

Baginda Sultan berkenan melihat pembelajaran murid-murid di SR Abdul Rashid.
Baginda Sultan berkenan melihat pembelajaran murid-murid di SR Abdul Rashid.
Baginda Sultan berkenan melihat barangan pameran semasa berangkat ke Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Beruang.
Baginda Sultan berkenan melihat barangan pameran semasa berangkat ke Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Beruang.

Dari segi pentadbiran, Kampung Lubok Pulau terletak dalam Mukim Tanjong Maya.

Kemudian KDYMM berkenan berangkat melawat Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Beruang, Tutong.

Balai Bomba ini beroperasi sepenuhnya pada Mac 2015. Pembinaan Balai Bomba ketiga bagi cawangan operasi ‘E’ ini adalah untuk memenuhi kehendak dan pemintaan masyarakat bagi melindungi pertumbuhan pembangunan pesat Daerah Tutong.

Seterusnya Baginda berkenan melawat para penerima anak-anak kunci rumah di bawah Rancangan Perumahan Negara Bukit Beruang iaitu rumah kembar kepunyaan Dayang Rabiatul Moneerah binti Mansor, Dayangku Shahidah binti Pengiran Kahar, Awg Muhammad Fadhlie bin Abdullah dan Haji Andy Faizal bin Haji Junit dan juga rumah teres kepunyaan Awang Amiezul bin Mohammad Zulazri dan Awang Shahrul Nizam bin Sawal.

Pada keluasan 127 Hektar dengan anggaran pembelajaan melebihi $140 Juta, projek perumahan RPN Bukit Beruang ini sejumlah 1,500 unit rumah telah dibina. Dari jumlah berkenaan 1,000 buah adalah rumah jenis teres dan selebihnya adalah rumah jenis kembar. Projek perumahan ini dikendalikan oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) dan diserahkan kepada Kementerian Pembangunan pada Mei 2014 lalu setelah ianya siap dibina pada Mac 2014.

ARTIKEL YANG SAMA