Berangkat meninggalkan Singapura

Berangkat meninggalkan Singapura

SINGAPURA, 19 Ogos – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah hari ini berangkat meninggalkan Republik Singapura setelah menamatkan lawatan muhibah selama enam hari bermula 14 Ogos lalu.

Mengiringi keberangkatan Yang Teramat Mulia dan Yang Amat Mulia ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Muthee’ah Raayatul Bolqiah.

Sebelum berangkat, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Awang Hamidon bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Haji Abdul Hamid.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi bagi menyembahkan selamat berangkat ke hadapan majlis Yang Teramat Mulia dan Yang Amat Mulia ialah Setiausaha Parlimen, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga, Profesor Madya Dr. Muhammad Faishal bin Ibrahim dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Luar Negeri Republik Singapura.

YTM dan YAM Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah semasa bacaan Doa Selamat sebelum berangkat meninggalkan Republik Singapura. - Gambar-gambar oleh Infofoto
YTM dan YAM Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah semasa bacaan Doa Selamat sebelum berangkat meninggalkan Republik Singapura. – Gambar-gambar oleh Infofoto
Yang Teramat Mulia Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Yayasan Mendaki.
Yang Teramat Mulia Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Yayasan Mendaki.

Turut hadir bagi menyembahkan selamat berangkat ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Republik Singapura, Haji Awang Saifulbahri bin Haji Awang Mansor dan isteri serta pegawai-pegawai dari Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam di Republik Singapura.

Terdahulu, pada sebelah pagi, Yang Teramat Mulia berkenan berangkat melawat Yayasan Mendaki di mana keberangkatan tiba Yang Teramat Mulia dialu-alukan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Mendaki, Tuminah Sapawi.

Sejurus keberangkatan tiba di Wisma Mendaki, Yang Teramat Mulia dijunjung bagi menandatangani buku pelawat dan seterusnya mendengarkan sembah taklimat.

ARTIKEL YANG SAMA