Berangkat tiba di Bangkok

Berangkat tiba di Bangkok

Gambar oleh Muiz Matdani & Infofoto

 

BANGKOK, Thailand, 9 Okt – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selamat berangkat tiba di Bangkok, Thailand bagi menghadiri Sidang Kemuncak Dialog Kerjasama Asia (ACD) Kedua yang diadakan dari 9 hingga 10 Oktober di Bangunan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Thailand.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Military Air Terminal 2, Bangkok dijunjung oleh Menteri Tenaga selaku wakil kerajaan Thailand, Jeneral Anantaporn Kanjanarat dan para pegawai kanan kerajaan Thailand.

Juga hadir bagi menjunjung keberangkatan tiba Baginda Sultan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng.

Baginda Sultan seterusnya berkenan berangkat melintasi Barisan Kawalan Kehormatan Statik sebelum menaiki kenderaan khas menuju ke sebuah hotel ternama di Bangkok, tempat persemayaman Baginda di sepanjang keberangkatan ACD Kedua ini.

ACD Kedua yang dihoskan oleh Thailand dan dihadiri oleh ketua-ketua negara, ketua-ketua kerajaan serta ketua-ketua delegasi ACD dari 34 negara ini antara lain diadakan untuk menyatukan kekuatan Asia dan mengukuhkan daya saing Asia dengan memaksimakan kepelbagaian dan sumber yang kaya di Asia.

Baginda Sultan berkenan menerima junjung ziarah sejurus berangkat tiba di hotel persemayaman Baginda di Bangkok.
Baginda Sultan berkenan menerima junjung ziarah sejurus berangkat tiba di hotel persemayaman Baginda di Bangkok.

Menurut laporan Bernama, para pemimpin yang menghadiri sidang kemuncak bertemakan ‘Satu Asia, Pelbagai Kekuatan’ itu dijangka meneliti semula kemajuan dalam pelaksanaan keputusan yang dicapai dalam sidang kemuncak pertama pada 2012 dan membincangkan tentang hala tuju masa depan ACD.

“Mereka akan turut mengadakan pertemuan dengan pemimpin perniagaan dari negara anggota, yang mana pemimpin perniagaan terbabit akan membentangkan hasil daripada Forum Ekonomi ACD 2016 yang diadakan pada hari sebelumnya,” Bernama memetik kenyataan Wisma Putra sebagai berkata.

Ditubuhkan pada tahun 2002, ACD merupakan platform untuk menggabungkan kekuatan dan daya saing Asia dengan memaksimumkan pelbagai kekuatan dan kekayaan sumbernya di Asia. ACD dianggotai 34 negara dari kesemua lima subwilayah di Asia.

Doa Selamat dibacakan di Istana Nurul Iman sebelum keberangkatan Baginda Sultan ke Bangkok, Thailand.
Doa Selamat dibacakan di Istana Nurul Iman sebelum keberangkatan Baginda Sultan ke Bangkok, Thailand.
Baginda Sultan ketika berkenan berangkat bagi menghadiri ACD Kedua di Bangkok, Thailand.
Baginda Sultan ketika berkenan berangkat bagi menghadiri ACD Kedua di Bangkok, Thailand.
Kerabat diraja yang lain berangkat di Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Rimba bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Baginda Sultan.
Kerabat diraja yang lain berangkat di Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Rimba bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Baginda Sultan.

Terdahulu, sebelum berangkat dari Istana Nurul Iman, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Berangkat di Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Rimba bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan.

Berangkat sama ialah Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria; menteri-menteri Kabinet; ahli-ahli Majlis Mesyuarat Diraja; timbalan-timbalan menteri; pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; dan pesuruhjaya Polis Diraja Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA